Solidariti untuk DAK di Dataran Zoo Taiping

IPOH – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan Sekretariat Solidariti Bersama DAK (Dara, Amoi dan Kelat) sebagai platform penyelarasan advokasi, kesedaran awam dan tindakan berterusan dalam mempertahankan kebajikan haiwan serta memastikan layanan yang lebih berperikemanusiaan terhadap hidupan liar tersebut.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, sebagai langkah permulaan, Himpunan Solidariti Bersama DAK akan diadakan di Dataran Zoo Taiping pada 9 Mei ini sekitar jam 10 pagi.

“Dalam himpunan tersebut, satu memorandum rasmi akan diserahkan kepada Pengarah Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) bagi menyatakan pendirian dan tuntutan rakyat yang prihatin terhadap nasib DAK,“ katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Neow yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA berkata, pihaknya turut menyambut baik gesaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya ZTNS segera memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo, Osaka (ZTO)  bagi menilai mekanisme membawa pulang tiga gajah berkenaan.

Terdahulu, sebuah video daripada pelancong Malaysia yang melawat ZTO, Jepun tular dan menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan gajah terbabit serta habitat yang didakwa tidak memuaskan.

Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan ke ZTO sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.

Sehubungan itu, Pemuda BN mengajak orang ramai bersama-sama memperjuangkan isu berkenaan dan memastikan DAK dapat dibawa pulang ke Malaysia dengan selamat.

Semalam, Wan Rosdy menggesa pihak ZTNS mengambil tindakan segera membawa pulang ketiga-tiga gajah yang kini ditempatkan di ZTO.

Wan Rosdy berkata, ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

DAK kekal milik Zoo Taiping, tiada urus niaga jual beli – Exco

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI