IPOH – Kesan ketidaktentuan ekonomi global yang membawa kepada peningkatan kos logistik serta harga barangan keperluan semakin dirasai masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Perkembangan itu menyebabkan golongan berkenaan terpaksa berdepan dengan tekanan kos sara hidup dalam memastikan perbelanjaan isi rumah dapat diurus dengan kadar kemampuan masing-masing.
Abdul Majid Kalaiselvan Abdullah, 70, berkata, dia ketika ini dia perlu menanggung keluarga besar yang tinggal bersama dalam satu rumah di PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital, di sini, dan situasi itu telah menyebabkan perbelanjaan bulanan keluarganya meningkat dengan ketara.

“Perbelanjaan untuk barang dapur keluarga boleh mencecah antara RM200 hingga RM300 dalam sebulan, namun ia tetap tidak mencukupi apabila harga barangan asas semakin meningkat.
“Beli barang pun memang mahal sekarang, dengan harga semua naik, tak ada yang turun. Kalau beras 10 kilogram dalam tempoh dua minggu saja boleh bertahan untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Food Bank Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM) di Pekarangan Ariff Frozen Food di Taman Seri Tasek di sini pada Ahad.

Abdul Majid antara 350 penerima sumbangan bakul makanan yang setiap satu bernilai RM150 merangkumi pelbagai barangan runcit dan sejuk beku.
Mengulas lanjut, dia yang juga menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal itu menyifatkan program berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban harian dia sekeluarga.
“Saya bersyukur atas bantuan yang diberikan memandangkan saya juga kini telah kehilangan kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis,” katanya.
Sementara itu, Che Zaini Che Min, 60, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, dia turut berterima kasih apabila dipilih sebagai penerima bantuan selepas namanya disenaraikan penganjur.

Dia yang menetap di Taman Rimba Tambun berkata, bantuan seperti yang dianjurkan Program Food Bank Ariff Frozen Food amat membantu mengurangkan tekanan kewangan bulanannya/
“Kalau ikutkan, perbelanjaan saya dalam RM200 ke RM300 sebulan. Jadi bila ada bantuan seperti ini, ia dapat kurangkan sedikit beban,” katanya.
Selain itu Che Zaini turut berharap agar lebih banyak pihak dapat tampil membantu golongan memerlukan khususnya yang terkesan dengan kenaikan harga barang semasa.

“Kalau boleh lebih ramai pihak swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dapat mengadakan program seperti ini kerana ia sangat membantu kami yang memerlukan,” ujarnya.
Pada masa sama, seorang lagi penerima bantuan, Hapizah Din, 49, berkata, kos perbelanjaan dapur keluarganya kini semakin meningkat dan memberi kesan kepada pengurusan kewangan bulanan.
Justeru ujarnya, bantuan yang diterima dilihat dapat memberi kelegaan kepada keluarganya yang turut terkesan dengan peningkatan harga barangan asas.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Ariff Frozen Food dan PRIM atas program yang dianjurkan ini, dan diharapkan ia dapat diteruskan lagi pada masa hadapan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kenaikan harga barang tidak halang program ‘food bank’ diteruskan


