Nahas dua kenderaan: Suami isteri warga emas maut

TELUK INTAN – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Batu 5 Jalan Maharajalela, di sini, pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 2.40 petang.

Katanya, sejurus selepas itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 63 tahun, dan Toyota Vios yang dinaiki pasangan suami isteri masing-masing berusia 70 tahun.

“Akibat daripada kemalangan itu, suami isteri terbabit tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurut beliau, dalam kejadian sama, pemandu Proton Persona turut mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.

Sabarodzi berkata, pasukan bomba melaksanakan operasi penyelamatan dengan menggunakan peralatan hidraulik khas sehingga semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa keluar menggunakan pengusung.

“Dua mangsa dalam kereta Toyota Vios telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.

“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Abdul Hazhar Ismail tamat pada jam 4.20 petang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki warga emas maut nahas tiga kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI