Projek air Sungai Perak-Bukit Merah sejauh 60km di peringkat akhir kajian

BAGAN SERAI – Projek pemindahan air dari Sungai Perak di Chenderoh ke Empangan Bukit Merah di sini sedang berada di peringkat akhir kajian terperinci.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini pihak konsesi yang dilantik bersama dengan perunding sedang menyiapkan kajian akhir sebelum projek bernilai RM4 billion itu dapat dilaksanakan.

“Penyaluran sumber air mentah (Sungai Perak) dari Chenderoh ke Tasik Bukit Merah melibatkan laluan sejauh kira-kira 60 kilometer.

“Dan tujuan utama pelaksanaan projek ini adalah untuk memastikan pesawah-pesawah tidak mengalami masalah kekurangan air sekiranya berlaku cuaca kering,” katanya.

projek air Sungai Perak Bukit Merah 60km projek pemindahan air Perak, bekalan air Kerian, Empangan Bukit Merah kapasiti, masalah kelodak empangan, Sungai Perak Chenderoh, projek RM4 bilion Perak, bekalan air pesawah, KIGIP Kerian industri, air mentah Pulau Pinang, infrastruktur air Perak
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada sidang media program Sesi Libat Urus dan Taklimat Keselamatan di Empangan Bukit Merah, Kerian. Foto ABDULLAH YUSOF 04 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sesi Libat Urus dan Taklimat Keselamatan Empangan Bukit Merah, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ir Dr Asnor Muizan Ishak serta Jurutera JPS Daerah Kerian, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi.

Menurut Mohammad Nizar, selain menjamin bekalan air untuk sektor pertanian, projek itu turut menyokong keperluan industri bagi projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang sedang dibangunkan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin melawat Empangan Bukit Merah selepas program Sesi Libat Urus dan Taklimat Keselamatan di Kerian. Foto ABDULLAH YUSOF 04 MEI 2026.

“Keutamaan kita adalah untuk kegunaan domestik dan pertanian terlebih dahulu, diikuti keperluan industri hijau di KIGIP. Dan sekiranya ada lebihan (bekalan air mentah), baru kita jual kepada Pulau Pinang (sebagaimana diputuskan sebelum ini),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Nizar berkata, isu pemendapan kelodak di Empangan Bukit Merah turut diberi perhatian kerana ia dikhuatiri menjejaskan kapasiti takungan air sedia ada.

Ujar beliau, kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pengorekan sedimen perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan fungsi empangan tersebut berada pada tahap optimum.

projek air Sungai Perak Bukit Merah 60km projek pemindahan air Perak, bekalan air Kerian, Empangan Bukit Merah kapasiti, masalah kelodak empangan, Sungai Perak Chenderoh, projek RM4 bilion Perak, bekalan air pesawah, KIGIP Kerian industri, air mentah Pulau Pinang, infrastruktur air Perak
Program Sesi Libat Urus dan Taklimat Keselamatan di Empangan Bukit Merah, Kerian. Foto ABDULLAH YUSOF 04 MEI 2026.

“Dalam hal ini, antara cadangan yang dikemukakan oleh JPS adalah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di dasar empangan sekali pada setiap enam bulan untuk mengawal kadar pemendapan kelodak. Ini kerana, jika kita biarkan kelodak ini terkumpul, ia akan mengurangkan kapasiti takungan air,” jelasnya. 

Sementara itu, Asnor Muizan berkata, kapasiti asal Empangan Bukit Merah yang pada asalnya sekitar 90 juta meter padu kini berkurangan kepada kira-kira 65 juta meter padu akibat pengumpulan sedimen di bahagian dasar.

Justeru beliau berkata, kerja-kerja pengorekan kelodak di dasar empangan sedang dilaksanakan secara berperingkat yang melibatkan kos keseluruhan sekitar RM80 juta.

“Masalah kelodak di dasar empangan telah mengakibatkan pengurangan hampir 30 peratus kapasiti takungan air. Dan setakat ini kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan kelodak berjaya dikeluarkan dan kerja tersebut dijangka berterusan sehingga Januari 2027.

“Kerjap-kerja ini juga merupakan antara komponen atau elemen yang terdapat daripada projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah,” katanya lagi. – MG Perak 

 

Artikel Berkaitan:

Projek pemindahan air Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah akan dibawa ke Kabinet

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI