Ada usia 11 tahun sudah terjerumus dengan dadah sintetik

IPOH – Golongan muda termasuk seawal usia 11 tahun antara yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik khususnya jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak, Mohamad Nor Musa berkata, trend baharu penyalahgunaan dadah kini banyak melibatkan vape bercampur bahan terlarang, cecair sintetik serta bahan halusinogen seperti magic mushroom dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan remaja.

Menurutnya, bahan tersebut mudah diperoleh, sukar dikesan dan dipromosikan secara meluas menerusi media sosial.

“Golongan remaja dan pelajar adalah kumpulan paling berisiko akibat pengaruh rakan sebaya, budaya media sosial serta kurang kesedaran terhadap kandungan sebenar bahan yang digunakan.

“Penyalahgunaan bahan ini boleh menjejaskan prestasi akademik, disiplin, kesihatan mental serta masa depan pelajar sekiranya tidak dibendung lebih awal,” katanya pada sidang media pada Malam Mesra Bersama Media AADK Negeri Perak di Royal Perak Golf Club di sini semalam.

Mohamad Nor berkata, berdasarkan statistik Disember 2025, seramai 191,083 individu direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan di seluruh negara.

Bagi negeri Perak pula, jumlah yang direkodkan adalah seramai 14,915 orang walaupun berlaku penurunan sebanyak 6.79 peratus berbanding tahun 2024.

“Di Perak, seramai 5,561 individu berumur antara 15 hingga 39 tahun direkodkan mengambil dadah ATS, manakala penggunaan dadah sintetik terus meningkat sebanyak 39.9 peratus berbanding tahun 2023,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, AADK terus memberikan perhatian serius terhadap isu relaps atau penagihan semula yang masih menjadi cabaran utama dalam usaha pemulihan penagih dadah.

“Antara faktor yang menyumbang kepada masalah itu termasuk pengaruh persekitaran, tekanan hidup, kurang sokongan keluarga, stigma masyarakat serta kegagalan menyesuaikan diri dalam komuniti dan tempat kerja.

“Situasi ini menunjukkan bahawa pendekatan pencegahan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan rawatan, pemulihan, intervensi awal, sokongan psikososial dan juga peluang pekerjaan,” ujarnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

JPJ teliti hukuman lebih tegas terhadap pemandu mabuk, dadah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI