KAMPAR – Polis berjaya membongkar kegiatan pemprosesan pasir silika tanpa kelulusan dengan nilai rampasan dianggarkan RM7.25 juta dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan pada Khamis.
Operasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan di sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan pasir silika secara haram itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan.
Menurutnya, ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai terdiri daripada pemilik perniagaan dan pemandu lori.
“Hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2024 dan belum pernah diserbu sepanjang tempoh operasi dijalankan.

“Fasiliti di lokasi itu digunakan khusus bagi memproses pasir silika sebelum disimpan dan dieksport ke luar negara. Bekalan pasir yang ditemui dipercayai diperoleh daripada sebuah tapak projek perumahan di sekitar Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan pada malam ini.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai PTG Perak terhadap dua lori yang membawa muatan pasir mendapati kedua-dua pemandu gagal mengemukakan dokumen pemindahan mineral berkaitan.
“Antara rampasan yang dibuat termasuk pelbagai mesin, jentera dan peralatan pemprosesan pasir silika, longgokan pasir dianggarkan seberat 5,000 tan serta 500 jumbo bag berisi mineral jenis amang dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7.25 juta,” ujarnya.
Katanya, bagi kesalahan memproses pasir silika tanpa lesen, JMG Perak membuka siasatan mengikut Peraturan 6(4), Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan) 2016 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sementara itu, untuk kesalahan memindahkan pasir tanpa kelulusan pula disiasat oleh PTG Perak di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – MG Perak
ARTIKEL BERKAITAN:
PGA serbu kilang proses kaolin secara haram, nilai rampasan RM20 juta


