Mahasiswa cipta rekod MBOR nilai lebih 1,000 pokok di Royal Belum

GERIK – Seramai 249 sukarelawan mahasiswa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melakar rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menilai sebanyak 1,019 pokok, baru-baru ini.

Pencapaian menerusi kategori ‘The Most Trees Assessed In A Forest Health Monitoring Programme’ itu direkodkan sempena penganjuran Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Penganjur bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Pulau Banding Foundation (PBF) dengan sokongan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

rekod MBOR Royal Belum Related Keyphrase: mahasiswa cipta rekod MBOR, penilaian pokok Royal Belum, eGIP 2026, pemantauan kesihatan hutan, program kelestarian mahasiswa, UMK Royal Belum, konservasi hutan Perak, Malaysia Book of Records
Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan Pegawai MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Pengarah BHEP, Hirman Awang pada program eGIP: Eco Pledge Penanaman Pokok 2026 dan Penyampaian Sijil MBOR sempena penganjuran Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026 di UMK-TRaCe, Royal Belum, Gerik.

Sijil pengiktirafan MBOR disampaikan Pegawai MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Pengarah BHEP, Hirman Awang pada majlis perasmian eGIP: Eco Pledge Penanaman Pokok 2026 dan Penyampaian Sijil MBOR, di UMK-TRaCe, Royal Belum, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Huzili Hussin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Raman Noordin serta Pegawai Rasmi MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh.

Pengarah UMK-TRaCE, Dr. Muhammad Firdaus Abdul Karim berkata, pada peringkat awal sebanyak sebanyak 1,000 pokok berjaya direkodkan sebelum jumlah tersebut meningkat kepada 1,019 pokok.

Ujar beliau, tambahan 19 rekod pokok itu disumbangkan mahasiswa UMK melalui kelab TRaCe Research and Conservation Explorers (TREX) bersama Persatuan Arborist Malaysia dan Belum Forest Friends sebagai simbolik penubuhan UMK sebagai universiti awam ke-19 di bawah KPT

“Hasil pemantauan juga mendapati landskap Royal Belum-Temengor masih mengekalkan ciri ekologi yang baik dengan purata litupan kanopi antara 35.45 hingga 63.9 peratus serta bacaan pH tanah sekitar 6.5 yang sesuai untuk kebanyakan spesies hutan tropika,” jelasnya.

Tambah beliau, kepelbagaian tanda kewujudan hidupan liar seperti burung, primata, rusa, reptilia dan kesan jejak haiwan turut direkodkan sepanjang program berlangsung sekali gus membuktikan kawasan hutan hujan itu masih berfungsi sebagai habitat penting biodiversiti negara.

Pada masa sama Hirman berkata, eGIP 2026 dirangka sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh agenda penjagaan alam sekitar selain membudayakan kesedaran kelestarian dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

Kata beliau, pendekatan pembelajaran imersif menerusi konsep ‘living laboratory’ di Royal Belum-Temengor memberi peluang kepada peserta mendalami aktiviti konservasi, pemantauan biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar secara langsung di lapangan.

“Program ini bukan sekadar tertumpu kepada jumlah pokok yang dinilai, tetapi memperkenalkan pendekatan pemantauan kesihatan hutan yang lebih menyeluruh melibatkan empat komponen utama iaitu kesihatan pokok, kesihatan tanah dan persekitaran, pencemaran serta pemerhatian hidupan liar.

“Antara data lapangan yang direkodkan termasuk diameter pokok, ketinggian pokok, keadaan batang, status spesies, pH ( ukuran keasidan atau kealkalian) tanah, kelembapan tanah, litupan kanopi, kehadiran kulat, pencemaran sampah dan penampakan fauna liar,” katanya lagi.

Beliau berkata, BHEP JPT turut menyediakan geran khas sebanyak RM5,000 kepada setiap 20 UA bagi memastikan kesinambungan eGIP sebagai program tahunan berimpak tinggi.

rekod MBOR Royal Belum mahasiswa cipta rekod MBOR, penilaian pokok Royal Belum, eGIP 2026, pemantauan kesihatan hutan, program kelestarian mahasiswa, UMK Royal Belum, konservasi hutan Perak, Malaysia Book of Records
Sekitar program eGIP: Eco Pledge Penanaman Pokok 2026 dan Penyampaian Sijil MBOR sempena penganjuran Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026 di UMK-TRaCe, Royal Belum, Gerik.

Sementara itu, Huzili berkata, program eGIP: Eco Pledge Penanaman Pokok 2026 turut memberi penekanan terhadap usaha pemuliharaan secara langsung menerusi penanaman 200 pokok hutan dan 60 tumbuhan herba.

Kata beliau, aktiviti plogging yang dijalankan peserta juga berjaya mengumpul hampir 48.92 kilogram sampah di kawasan sekitar Pulau Banding pada sepanjang program berlangsung. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UMK bentuk akauntan masa hadapan berteraskan tanggungjawab sosial, alam sekitar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI