Skim PADURI MADANI AIM, sasar 29,000 usahawan wanita B40

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Skim PADURI MADANI di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta bagi melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.

Skim yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2026 ini terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,880 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,470.

Selari dengan matlamat penubuhan AIM untuk mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan, skim ini turut menerima pemohon yang telah disenarai hitam atau diisytiharkan muflis. Tiada penjamin atau cagaran diperlukan bagi pemohon yang ingin memohon skim ini.

Selain itu, skim ini juga bersifat inklusif dengan menyasarkan tujuh kumpulan utama iaitu wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli dan komuniti Siam, serta wanita B40 di bandar dan luar bandar.

Anwar dalam ucapannya memuji tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan golongan wanita dalam melunaskan pinjaman, khususnya menerusi rekod pembayaran balik yang cemerlang di bawah AIM.

Menurutnya, kejayaan wanita dalam mengurus pinjaman membuktikan ketabahan, kewibawaan serta nilai akhlak yang tinggi sehingga menjadi faktor utama kepada kadar pembayaran balik yang sangat memberangsangkan.

PM lancar Skim PADURI MADANI AIM, sasar 29,000 usahawan wanita B40
Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang hadir pada majlis Peluncuran Skim Paduri MADANI di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 MEI 2026.

“Saya bangga dengan wanita. Baru-baru ini kita sambut Hari Wanita. Wanita itu ialah ibu kita, isteri kita, anak kita, kakak kita dan adik kita.

“Selama ini tidak banyak program besar yang dikhususkan untuk wanita. Jadi AIM memberi galakan supaya wanita membuktikan kemampuan mereka, meminjam dan membayar balik hutang.

“Sebab apa? Kerana mereka tabah, mempunyai wibawa, nilai dan akhlak yang tinggi,” katanya pada Majlis Peluncuran Skim Paduri MADANI di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Pada majlis yang dihadiri 1,000 Sahabat Usahawan AIM ini, Anwar menyampaikan Anugerah Usahawan Cemerlang Negeri Perak kepada tiga penerima iaitu Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman (Shazam Catering & Food Services); S Manjula (Nhavin Enterprise); dan Lee Lai Wan (Lee Kam Sing Herbs Tree Enterprise).

PM lancar Skim PADURI MADANI AIM, sasar 29,000 usahawan wanita B40
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima anugerah Sahabat Usahawan Cemerlang AIM Negeri Perak pada majlis Peluncuran Skim Paduri MADANI di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 MEI 2026.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan cek cura pembiayaan Skim PADURI MADANI berjumlah RM3,000 setiap seorang kepada lima penerima yang merupakan Sahabat Usahawan baharu AIM bagi Parlimen Tambun.

Selain acara rasmi peluncuran skim berkenaan, turut diadakan pameran perniagaan dan produk Sahabat Usahawan berjaya yang mewakili setiap negeri dari seluruh negara.

Untuk rekod, AIM yang diwujudkan sejak 39 tahun lalu telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM39.1 bilion, dengan jumlah peminjam seramai 1,187,096 orang.

Ia telah memberi manfaat kepada 4.39 juta isi rumah dengan jumlah Sahabat Usahawan Aktif seramai 317,886 orang pada masa kini, AIM mengekalkan kadar Non-Performing Loan (NPL) pada 0 peratus.

Bagi tahun 2026, bagi tempoh Januari hingga April, prestasi pembiayaan AIM sangat memberangsangkan dengan jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan sebanyak RM1.07 bilion, kepada 131,105 orang peminjam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak peruntuk RM900,000 perkasa wanita, lebih 7,000 terima manfaat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI