Perak peruntuk RM900,000 perkasa wanita, lebih 7,000 terima manfaat

IPOH – Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan sebanyak RM900,000 bagi melaksanakan pelbagai program pengupayaan wanita yang memberi manfaat kepada lebih 7,000 penerima bagi tempoh 2025 hingga Mac 2026 dari pelbagai lapisan masyarakat.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program ini dilaksanakan melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW) serta Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), yang memainkan peranan strategik dalam memperkukuh dimensi sosial dan ekonomi wanita.

Menurutnya, dari sudut pembangunan sosial, SPW telah melaksanakan pelbagai intervensi yang memberi tumpuan kepada pembinaan sahsiah, pengukuhan institusi kekeluargaan, kesejahteraan mental serta pengembangan jaringan sokongan komuniti.

“Pendekatan ini dilihat penting kerana keupayaan wanita untuk menjana pendapatan tidak boleh dilihat secara terasing daripada faktor kestabilan emosi, sokongan sosial dan persekitaran keluarga yang kondusif.

“Keberkesanan pendekatan berkenaan dapat dilihat melalui peningkatan penyertaan wanita dalam program-program yang dianjurkan.

“Sebagai indikator, sepanjang sambutan Bulan Wanita Negeri Perak tahun 2026, lebih 2,500 penyertaan telah direkodkan melibatkan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40.

“Penyertaan ini bukan sahaja bersifat kuantitatif, malah turut memberi impak kualitatif dari segi peningkatan keyakinan diri, literasi sosial serta keupayaan berdikari dalam kalangan peserta,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Salbiah berkata, sepanjang tahun 2025 hingga Mac 2026, lebih daripada 50 program telah dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak bagi membangunkan kapasiti ekonomi wanita di negeri ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak akan laksana GeRAK+

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI