IPOH – Kerajaan meluluskan tambahan peruntukan keseluruhan RM900 juta bagi pembinaan 6,000 bilik darjah baharu sekolah rendah di seluruh negara sebagai langkah memenuhi keperluan ruang pembelajaran murid khususnya bagi Tahun Satu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, keputusan menambah peruntukan berbanding RM500 juta sebelum ini itu dibuat susulan berlaku peningkatan jumlah pendaftaran murid yang memerlukan penambahan bilik darjah di sekolah-sekolah terlibat.

“Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kekurangan bilik darjah pada saat-saat akhir yang boleh menjejaskan proses pembelajaran.
“Dalam Belanjawan 2026 sebelum ini kita umumkan RM400 juta untuk pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan melibatkan lebih 800 sekolah.
“Namun, selepas penilaian semula dan unjuran semasa, kerajaan bersetuju menambah peruntukan daripada RM500 juta kepada RM900 juta untuk membina 6,000 bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kementerian Pendidikan kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Perak di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurut Anwar, pelaburan dalam infrastruktur pendidikan perlu diberi keutamaan kerana ia melibatkan soal pembangunan modal insan yang mampu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai akhlak dan jati diri.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan mahu melihat kontraktor kecil majortinya Bumiputera terutama dalam kategori G1 hingga G4 untuk terus berkembang dan tidak kekal dalam skala kecil untuk satu tempoh yang lama.
Anwar berkata, prestasi baik dalam melaksanakan projek kerajaan akan menjadi antara asas utama penilaian bagi membolehkan syarikat-syarikat berkenaan menerima kontrak lebih besar pada masa hadapan.
“Kontraktor kecil Bumiputera yang berjaya melaksanakan projek dengan cemerlang akan diberi peluang mengendalikan projek lebih besar pada masa hadapan.
“Kalau prestasi syarikat kontraktor kecil ini baik, saya akan pastikan dalam urutan penilaian kerajaan, mereka akan diberikan kontrak lebih besar supaya dapat berkembang.
“Saya mahu jamin peluang diberikan kepada mereka yang berhak dan layak, bukan kerana ada kaitan dengan mana-mana pihak atau kumpulan tertentu,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anwar mahu AIM jadi ‘model terbaik’ dunia bantu golongan miskin


