PRU16: Kerjasama PH-BN mampu tingkat peluang kemenangan – PKR Perak

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memberi bayangan mahu mengekalkan formula Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang demi menjamin kestabilan politik di negeri itu.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, langkah mengelakkan pertembungan sesama sendiri bukan sahaja memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH), malah berupaya memberi impak positif yang besar kepada BN.

Katanya, sekiranya pertembungan sesama sendiri antara PH dan BN berlaku ia dikhuatiri akan mengurangkan peratusan potensi kemenangan di kerusi-kerusi yang ditandingi, dan seterusnya memberi kelebihan kepada pembangkang.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berucap pada Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak Bersama Pengamal Media di Wisma Keadilan Negeri Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2026.

“Di Perak ni sudah semestinya kita tidak mahu bertembung (PH dan BN) sama sepertimana yang berlaku di Johor, kerana ia ia beri kesan bukan sahaja untuk PH tetapi untuk BN itu sendiri.

“Kalau Barisan Nasional bersama dengan PH, saya percaya kita boleh bertanding dan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya nanti.

“Dan sekiranya berlaku sebaliknya (sama ada BN bersama pembangkang atau bertanding solo) ia akan mengecilkan (peluang kemenangan) kerana sudah pasti pembangkang juga akan meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi yang ditandingi,” katanya.

kerjasama PH-BN Perak PRU16 Related Keyphrase: formula Kerajaan Perpaduan Perak, PKR Perak sedia kerjasama BN, kerusi PRU16 Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, Tan Kar Hing
Suasana sekitar sesi dialog pada Majlis Hi-Tea Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak Bersama Pengamal Media di Wisma Keadilan Negeri Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2026.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Hi-Tea bersama Para Pengamal Media di Wisma KEADILAN Negeri Perak, di Bandar Meru Raya, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad Hairul Amir berkata, PKR Perak sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, asalkan matlamat untuk memastikan kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Kita (PKR-PH) ada kerjasama baik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di Perak yang diketuai Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad).

“Ia tidak sama seperti berlaku di selatan, dan jika ditanya kepada kami di Perak, setakat ini ia masih aman dan damai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerak kerja parti ketika ini berada pada tahap lebih baik berbanding sebelum ini, dengan jentera pilihan raya semakin diperkukuh bagi menghadapi PRU16 akan datang.

Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris (kanan) ketika sesi dialog bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Perak pada Majlis Hi-Tea MPN Keadilan Perak Bersama Pengamal Media di Wisma Keadilan Negeri Perak, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2026.

“Daripada segi penerimaan rakyat tu bercampur-campur, dan Insya-Allah jika kita dapat tampilkan calon yang berkualiti dan melaksanakan kerja dengan baik, saya percaya kita boleh menambahkan lagi sokongan rakyat itu,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing, berkata suasana politik di Perak ketika ini berada dalam keadaan stabil berbanding beberapa negeri lain, hasil kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegas beliau, PKR dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak mencetuskan sebarang pergolakan politik, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

“Kita masih lagi kekal kepada semangat Kerajaan Perpaduan dan oleh sebab itu, kita mahu lihat kestabilan politik terus terpelihara di negeri Perak,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

AMK puji pendirian Ahmad Zahid untuk UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI