IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak memberi bayangan mahu mengekalkan formula Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang demi menjamin kestabilan politik di negeri itu.
Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, langkah mengelakkan pertembungan sesama sendiri bukan sahaja memberi keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH), malah berupaya memberi impak positif yang besar kepada BN.
Katanya, sekiranya pertembungan sesama sendiri antara PH dan BN berlaku ia dikhuatiri akan mengurangkan peratusan potensi kemenangan di kerusi-kerusi yang ditandingi, dan seterusnya memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Di Perak ni sudah semestinya kita tidak mahu bertembung (PH dan BN) sama sepertimana yang berlaku di Johor, kerana ia ia beri kesan bukan sahaja untuk PH tetapi untuk BN itu sendiri.
“Kalau Barisan Nasional bersama dengan PH, saya percaya kita boleh bertanding dan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya nanti.
“Dan sekiranya berlaku sebaliknya (sama ada BN bersama pembangkang atau bertanding solo) ia akan mengecilkan (peluang kemenangan) kerana sudah pasti pembangkang juga akan meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi yang ditandingi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Hi-Tea bersama Para Pengamal Media di Wisma KEADILAN Negeri Perak, di Bandar Meru Raya, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohamad Hairul Amir berkata, PKR Perak sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik, asalkan matlamat untuk memastikan kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Kita (PKR-PH) ada kerjasama baik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di Perak yang diketuai Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad).
“Ia tidak sama seperti berlaku di selatan, dan jika ditanya kepada kami di Perak, setakat ini ia masih aman dan damai,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, gerak kerja parti ketika ini berada pada tahap lebih baik berbanding sebelum ini, dengan jentera pilihan raya semakin diperkukuh bagi menghadapi PRU16 akan datang.

“Daripada segi penerimaan rakyat tu bercampur-campur, dan Insya-Allah jika kita dapat tampilkan calon yang berkualiti dan melaksanakan kerja dengan baik, saya percaya kita boleh menambahkan lagi sokongan rakyat itu,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing, berkata suasana politik di Perak ketika ini berada dalam keadaan stabil berbanding beberapa negeri lain, hasil kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan.
Tegas beliau, PKR dan Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak mencetuskan sebarang pergolakan politik, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
“Kita masih lagi kekal kepada semangat Kerajaan Perpaduan dan oleh sebab itu, kita mahu lihat kestabilan politik terus terpelihara di negeri Perak,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
AMK puji pendirian Ahmad Zahid untuk UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan


