Kerajaan teruskan Baucar Buku Madani RM100 khusus pelajar sekolah menengah, mahasiswa IPT

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan inisiatif pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 namun kali ini pelaksanaannya akan difokuskan secara bersasar kepada kelompok sasar tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif itu khusus untuk pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Menurutnya, langkah mengecilkan skop pemberian itu dilakukan bagi memastikan bantuan berkenaan benar-benar dimanfaatkan oleh golongan pelajar yang sedang berada di fasa kritikal pembelajaran dan memerlukan rujukan ilmiah yang lebih mendalam.

“Dalam soal program buku Madani ini saya tak ada pilihan. Saya tahu kepentingan kewangan sukar tapi soal buku dan pendidikan harus tetap diberikan keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam ucapannya Anwar berkata, usaha memperkasa budaya membaca amat penting dalam membina masyarakat yang matang, berdaya fikir serta tidak mudah terpengaruh dengan arus maklumat sensasi yang dangkal di media sosial.

“Kita mahu budaya membaca ini terus subur terutamanya dalam kalangan anak-anak muda kita yang berada di peringkat sekolah menengah dan universiti.

“Pemberian kali ini disasarkan kepada mereka bagi membantu meringankan kos pembelian buku akademik dan bahan rujukan bermutu tinggi.

“Saya harap ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak kembali membudayakan sikap membaca. Paling penting pantau bahan bacaan anak-anak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mekanisme penebusan serta tarikh pelaksanaan baucar buku bernilai RM100 tersebut belum diperincikan.

​PBAKL 2026 edisi ke-43 yang mengangkat tema ‘Malaysia Membaca: Merayakan Buku’ dijadual berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mei 2026 sehingga 7 Jun depan dengan penyertaan pelbagai penerbit domestik dan antarabangsa. – MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI