Pensyarah politeknik maut dalam nahas dua kenderaan

IPOH – Seorang pensyarah di Politeknik Ungku Omar (PUO) maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Pinji Seni 5, di sini, pada Sabtu.

Mangsa, dikenali sebagai Sarafuddin Alang Osman, 59, juga merupakan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Perkapalan PUO.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, sekitar jam 10 pagi, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 8 tahun sedang bergerak dari Ipoh ke jalan berkenaan.

Katanya, hasil siasatan mendapati, ketika tiba di tempat kejadian, pemandu kereta tersebut telah membelok ke kanan untuk memasuki simpang.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Benelli Napoleon 500 yang ditunggang seorang lelaki tempatan telah datang dari arah bertentangan dan terus melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut.

“Akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Menurut Muhammad Najib, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati kematian mangsa akibat pelbagai kecederaan susulan kemalangan kenderaan.

Beliau berkata, polis juga telah menahan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam nahas itu untuk pemeriksaan lanjut oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Selain itu kata beliau, usaha mengesan saksi bebas serta rakaman kamera papan pemuka juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya lagi.

Ujar beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siastan.

Kata beliau, maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Sabrina Anita Abd Samat di talian 05-2451537 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, PUO menerusi hantaran Facebook merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Sarafuddin.

“​Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat seluruh warga PUO, khususnya Jabatan Kejuruteraan Perkapalan.

“Segala jasa, bakti, dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Allahyarham sepanjang berkhidmat di institusi ini akan sentiasa dikenang,” tulis kenyataan itu lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua maut, seorang cedera dalam nahas dua kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI