GERIK – Seorang guru maut selepas motosikal yang ditunggang memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dan melanggar sebuah kereta di kilometer (km) 34.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Pathur Rahman Abdul Aziz, 49 merupakan seorang guru matematik di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas jalan raya melibatkan dua kenderaan itu pada jam 10.20 pagi.
Katanya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang wanita berusia 27 tahun sedang melalui kawasan selekoh di jalan berkenaan.
“Secara tiba-tiba sebuah motosikal jenis skuter SYM yang ditunggang seorang lelaki berusia 49 tahun yang tiba di lokasi dari arah Gerik menuju ke Jeli telah hilang kawalan.
“Motosikal dan penunggang kemudiannya telah masuk ke laluan sah kereta terbabit dan berlaku pertembungan antara dua kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Abdul Samad berkata, nahas jalan raya itu telah mengakibatkan penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kata beliau, sementara itu pemandu kereta Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihatkan agar lebih berhati-hati untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


