GeoEntrepreneur persiap usahawan selari pengiktirafan Lenggong UNESCO Global Geopark

LENGGONG – Pengiktirafan antarabangsa baharu yang diterima Lenggong sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark bukan sahaja membuka peluang ekonomi penduduk malah memanfaatkan produk tempatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru itu pengiktirafan ini tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak terutama sekali dalam sektor pelancongan.

Menurut beliau, pelancaran GeoUsahawan (GeoEntrepreneur) Lenggong UNESCO Global Geopark memberi peluang kepada usahawan untuk mempersiapkan diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran seperti komunikasi dan penyediaan perkhidmatan berkualiti.

“Lenggong menerima kehadiran begitu ramai pelancong sama ada dalam dan luar negara dan ini bukan pelancongan biasa ia adalah berbentuk penyelidikan dan pendidikan berkaitan Lenggong UNESCO Geopark.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong kerana kehadiran mereka memberi ruang ekonomi kepada masyarakat setempat dan pastinya mereka perlukan penginapan, makanan dan lain-lain.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto, SYAKIR YUSOF 06 JUN 2026.

“Jadi semua ini kita tidak boleh ambil mudah sebab orang menilai apa yang mereka lihat dan kita mahu penduduk Lenggong bersiap sedia dalam pelbagai aspek termasuklah komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark sempena Lenggong Dialog 2026 di Dewan Merdeka Lenggong, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Ts. Khairil Azhar Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, penganjuran kursus kemahiran melalui Modul Kursus Usahawan di bawah Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark mampu mempersiapkan usahawan dalam pelbagai aspek.

“Pertama kita mahu usahawan ini memahami visi kita bukan setakat menjual barang dan makanan sedap tetapi menyediakan makanan sedap, berkualiti dan harga berpatutan.

“Ini kerana mereka bukan setakat menjadi usahawan tetapi juga sebahagian daripada komuniti Geopark ini,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark di Dewan Merdeka Lenggong. Foto, SYAKIR YUSOF 06 JUN 2026.

Sementara itu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, Modul Kursus Usahawan di bawah Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark dirangka oleh Kolej Komuniti Gerik.

Beliau dalam ucapannya berkata, usaha tersebut memperlihatkan peranan penting institusi pendidikan dalam membina kapasiti komuniti supaya masyarakat tempatan mampu menjadi penggerak kepada peluang ekonomi yang lahir daripada pembangunan geopark.

“Konsep UNESCO Global Geopark bertunjangkan tiga asas besar, iaitu pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

“Setiap geotapak perlu dijaga, setiap cerita perlu disampaikan dengan ilmu yang betul, dan setiap peluang ekonomi perlu dibangunkan dengan cara yang tidak merosakkan warisan asalnya.

“Atas asas itulah Program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark diperkenalkan di mana GeoEntrepreneur adalah pendekatan yang menggabungkan keusahawanan dengan pemeliharaan warisan geologi, alam semula jadi, budaya dan sejarah setempat,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Lenggong melakar sejarah sebagai satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang memegang dua status pengiktirafan antarabangsa UNESCO selepas diisytiharkan secara rasmi sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark 28 April lalu. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI