IPOH – Pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, Jaslinda Saludin, 49, berkata, dia terjatuh berkali-kali ketika berada dalam hutan sepanjang 15 hari kehilangannya.
Jaslinda yang ditemui selamat petang tadi berkata, dia juga turut berdepan pelbagai cabaran selain bergelut pada waktu malam sepanjang tempoh berkenaan.
Perkara berkenaan dikongsinya menerusi satu klip video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tapah Media yang memaparkan Jaslinda ditemukan selamat hari ini.
“Akak gerak dulu. Kamera akak semua bateri dah habis. (Bila) akak dah sampai akak tinggalkan jejak.
“Akak jatuh banyak kali,” katanya ringkas.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda telah ditemukan berhampiran di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Batu 8, Jalan Pahang, Tapah.
Katanya, mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Nazri Bah Eng kira-kira pada jam 3 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin dalam satu kenyataan mengesahkan Jaslinda ditemui dan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita itu dihentikan secara rasmi. -MG Perak


