PARIT BUNTAR – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak susulan dakwaan pembabitan warga asing khususnya etnik Rohingya, dalam aktiviti memunggah ikan di dalam kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, meskipun perkara berkenaan telah dinafikan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS), pihaknya telah mengarahkan agar siasatan dijalankan.
“Sekiranya siasatan mendapati ada pihak LKIM atau persatuan nelayan terlibat atau bersekongkol tindakan akan diambil.
“Jika terdapat kesalahan jenayah atau pelanggaran tatacara perkhidmatan mereka akan tertakluk kepada tindakan undang-undang.
“Jika melibatkan jenayah ia berada di bawah bidang kuasa polis dan pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Ramah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Perak Zon Utara di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Muhammad Faiz turut mengingatkan kakitangan LKIM untuk memastikan kawalan lebih ketat di mana-mana kompleks LKIM bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran peraturan.
“Bagi isu Rohingya pula, kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu melihat mengapa perkara ini berlaku dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan (PNKKTS) menafikan dakwaan pembabitan warga asing khususnya etnik Rohingya, dalam aktiviti memunggah ikan di dalam kompleks LKIM Pulau Kambing, di Kuala Terengganu.
Pengerusi PNKKTS, Mohd Razif Embong menegaskan, golongan itu tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks berkenaan untuk menjalankan sebarang aktiviti pemunggahan hasil laut.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran yang tular di media sosial didakwa memaparkan sekumpulan warga asing Rohingya kononnya sedang memunggah ikan untuk simpanan stok sendiri berhampiran tiga buah lori di kompleks LKIM Pulau Kambing. -MG Perak


