IPOH – Semua pelajar di bawah institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh menebus pemberian Baucar Buku MADANI bernilai RM100 bagi setiap seorang bermula Julai depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia dijangka memanfaatkan kepada lebih dua juta pelajar dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM210 juta yang disediakan kerajaan.
Katanya, inisiatif berkenaan membabitkan pelajar dalam kalangan Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Enam, penuntut matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

“Semua elajar di bawah institusi KPM iaitu dari peringkat sekolah menengah sehingga ke IPG akan mula menerima baucar buku RM100 setiap seorang
“Ia dilaksanakan secara digital melalui pembelian dalam talian yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku bagi untuk memastikan ketulusan serta sifar ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid serta Pengetua SMJK Ave Maria Convent, Tan Pei Nee.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku RM100 bagi pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Kah Woh, inisiatif Baucar Buku MADANI mula diperkenalkan pada 2024 melibatkan murid sekolah Tahun Empat dan ke atas, sebelum diperluaskan kepada lebih 400,000 warga pendidik pada tahun lalu.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut pada tahun ini kini memberi penumpuan kepada pelajar di bawah KPM sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran dalam kalangan generasi muda.

“Kita berharap dengan pelaksanaan inisiatif ini, ia dapat memberi peluang serta menggalakkan anak-anak kita membaca dan memastikan peningkatan ilmu dalam bidang pembelajaran masing-masing.
“Kita juga berharap agar mereka dengan aktif dapat mengambil sikap progresif untuk menebus serta membuat pembelian judul-judul bahan bacaan kegemaran mereka,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berasingan Kah Woh memaklumkan, Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan menyerahkan peruntukan khas sebanyak RM50,000 kepada SMJK Ave Maria Convent.
Beliau berkata, penggunaan dana berkenaan akan ditentukan sendiri oleh pelajar bagi memastikan peruntukan yang disalurkan dapat memenuhi keperluan serta aspirasi warga sekolah.
Pada masa sama beliau memberitahu, KPM telah meluluskan permohonan pembinaan kolam renang dan dewan serbaguna yang dikemukakan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SMJK Ave Maria selepas beberapa sesi libat urus diadakan sebelum ini.
“Projek berkenaan sebelum ini tertangguh meskipun pihak sekolah telah berjaya mengumpul dana melebihi RM4 juta.
“Selepas ini, surat kelulusan akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerja pembinaan dimulakan segera demi meningkatkan kemudahan serta prestasi murid dan pelajar sekolah,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan teruskan Baucar Buku Madani RM100 khusus pelajar sekolah menengah, mahasiswa IPT


