TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan pelanggaran hak cipta terhadap karya yang didaftar dan digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan komersial menerusi serbuan ke atas dua buah pusat hiburan di sini, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada 2.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping hasil maklumat serta aduan yang diterima daripada wakil pemilik hak cipta.
Menurutnya, kedua-dua premis berkenaan disyaki menggunakan karya yang dilindungi hak cipta tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menggunakan set karaoke yang mengandungi salinan langgaran karya rakaman filem, bunyi dan lagu bagi tujuan perniagaan.
“Pemilik premis juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran berkaitan penggunaan karya yang dituntut oleh pemilik hak cipta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan bersama wakil pemilik hak cipta mendapati terdapat unsur pelanggaran hak cipta dan pengesahan awal menunjukkan set karaoke yang digunakan mengandungi salinan langgaran karya berdaftar.
“Susulan itu, kes disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki, menjaga atau mengawal salinan langgaran bagi kegunaan selain daripada tujuan persendirian dan domestik.
“Dalam operasi tersebut, pihak penguat kuasa telah menyita beberapa unit set karaoke, monitor serta dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan di kedua-dua premis berjumlah RM56,235,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN Perak rampas lebih 72,000 ‘marker pen’ tiruan bernilai RM183,990


