IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak sudah menyusun gerak kerja dan menggerakkan jentera parti bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung secara berasingan bermula penghujung Jun hingga awal Ogos depan.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, negeri itu menerima permintaan daripada kepimpinan BN untuk menugaskan jentera Perak di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurutnya, bagi PRN Johor, jentera BN Perak akan membantu di lima DUN melibatkan dua kawasan Parlimen iaitu Pagoh dan Ledang serta lapan DUN membabitkan dua Parlimen iaitu Tampin serta Kuala Pilah.
“Seperti biasa, saya menyediakan pasukan untuk membantu di lima DUN di Johor. Ada lima DUN di situ iaitu Bukit Kepong dan Bukit Pasir bagi Parlimen Pagoh manakala Bukit Gambir, Tangkak dan Serom bagi Parlimen Ledang.
“Untuk Negeri Sembilan, Perak menjaga dua Parlimen juga tetapi melibatkan lapan DUN iaitu Juasseh, Seri Menanti, Senaling, Pilah dan Johol bagi Parlimen Kuala Pilah.
“Kemudian ada tiga lagi DUN di Parlimen Tampin iaitu DUN Gemas, Gemencheh dan Repah. Itulah sahaja,” katanya pada sidang media selepas PProgram MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4 Tahun 2026, di Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan pada tarikh berbeza yang dilihat berpotensi meningkatkan kos perbelanjaan parti, Saarani berkata perkara itu ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perlu dilaksanakan sebaiknya.
“Kita tidak dapat mengaturnya sebab itu keputusan SPR. Walau macam mana pun, apabila perkara itu sudah ditetapkan, itulah yang kita laksanakan. Ada duit, kita jalanlah. Bagaimana lagi?
“Dalam politik ini, susah atau senang kita harung sahaja. Sebab tidak ada istilah senang untuk menang. Kita akan lalui semua jalan sukar, cabaran dan dugaan. Kita harung sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan memerlukan RM80.6 juta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis sedia tambah anggota, logistik pastikan PRN berjalan lancar


