Polis sedia tambah anggota, logistik pastikan PRN berjalan lancar

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kesiapsiagaan menerusi penambahan anggota dan keperluan logistik bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, perancangan awal telah digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam berada pada tahap terbaik sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Kita telah bersiap siaga dari segi penugasan terutamanya dalam memberikan penugasan dari sumber manusia dan juga logistik untuk memastikan semua proses pilihan raya berjalan dengan baik, lancar dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala peraturan serta arahan yang ditetapkan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh pilihan raya.

“Kita menasihatkan kepada orang ramai supaya mematuhi segala peraturan dan juga arahan daripada pihak berkuasa dan pihak SPR sepanjang pilihan raya berjalan bagi mengelakkan tiada perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Semua pihak perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan keamanan di pusat pengundian ataupun di kawasan-kawasan yang menjalankan pengundian ini berada dalam keadaan terkawal dan selamat.

“Saya juga masih lagi meminta kepada Ketua Jabatan Kententeraman Awam di kontinjen masing-masing yang terlibat dengan pembubaran DUN di Johor dan Negeri Sembilan untuk mereka memberikan taklimat kepada saya tentang penugasan-penugasan yang akan dilakukan.

“Jika penugasan di semua kontinjen tidak mencukupi, kita akan memohon bantuan kekuatan daripada kontinjen berhampiran di kawasan negeri yang berlaku pembubaran atau yang berlangsung pilihan raya,” katanya.

Katanya, jumlah anggota yang akan ditugaskan masih dalam penilaian kerana setiap negeri mempunyai keperluan berbeza berdasarkan jumlah penduduk, keluasan kawasan serta bentuk muka bumi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mohd Alwi dilantik Ketua Polis Perak baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI