LENGGONG – Institut Lembah Lenggong bakal diwujudkan sebagai inisiatif menjadikan kawasan itu sebagai pusat pendidikan terbuka sekali gus hab pelancongan pendidikan yang mampu menarik penyertaan institusi akademik dari dalam dan luar negara.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, penubuhan institut berkenaan antara hasil yang disasarkan menerusi penganjuran Dialog Antarabangsa Lenggong 2026 (LiD 26) bagi membentuk identiti baharu kawasan itu berteraskan pendidikan, penyelidikan dan perkongsian ilmu.
Katanya, inisiatif itu akan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menjalankan kajian serta penyelidikan, selain memperluas kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan rakan akademik antarabangsa.

“Lenggong bakal menjadi pusat pendidikan terbuka yang akhirnya membolehkan kawasan ini menjadi hab kepada pelancongan berasaskan kepada pendidikan atau ‘education tourism’.
“Ini sebahagian daripada usaha kita untuk mewujudkan satu identiti baharu kepada Lenggong, apabila orang datang ke sini mereka dapat melihat perkara berkualiti yang dihasilkan pelbagai pihak, khususnya institusi dalam negara menerusi kerjasama dengan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup LiD 26 di Dataran Lenggong, di sini, pada Ahad yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas penganjuran dialog antarabangsa itu, Shamsul Anuar berkata, program lima hari bermula 25 November itu menghimpunkan kira-kira 600 peserta dari 20 negara termasuk Malaysia menerusi lapan sesi dialog yang merangkumi pelbagai bidang.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pelancongan Lenggong merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, pendekatan penganjuran dialog itu turut berbeza apabila perbincangan tidak hanya berlangsung dalam bilik persidangan, sebaliknya memanfaatkan landskap semula jadi Lenggong termasuk gua dan hutan lipur sebagai ruang perkongsian idea.
Shamsul Anuar berkata, beberapa resolusi dihasilkan menerusi pelbagai sesi melibatkan aspek budaya, warisan, ekologi dan kepimpinan generasi muda yang akan diperhalusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri serta pihak berkepentingan.

“Kita tidak mahu resolusi yang dicapai ini hanya menjadi dokumen sahaja, tetapi perkara paling penting ialah pelaksanaannya yang akan dibuat mengikut beberapa fasa tertentu.
“Justeru itu, LiD akan menjadi acara dwitahunan dengan lima teras utama iaitu budaya, makanan, persembahan, pengembaraan, dan intelektual,” jelasnya.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan meneliti resolusi yang diterima bagi mengenal pasti langkah susulan yang bersesuaian, khususnya dalam memperkukuh pembangunan Geopark Lenggong.

Beliau berkata, Perak mempunyai dua geopark iaitu Geopark Kinta dan Geopark Lenggong, dengan Lenggong turut memiliki dua status pengiktirafan antarabangsa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Sudah tentu kita akan ambil dan perhalusi kerana ia berada di negeri Perak. Sebagai Pengerusi Geopark Negeri, kita akan lihat perkara ini khususnya bagi Lenggong yang mempunyai dua pengiktirafan UNESCO,” ujarnya.
Terdahulu, Pengarah Pusat Pembelajaran Terbuka (Lenggong Geopark), UTM, Dr Norhazliza Abdul Halim membentangkan resolusi LiD’26 yang merangkumi tiga tema utama iaitu Warisan Dipelihara, Alam Dilestari dan Generasi Diperkasa.
Resolusi itu dirumuskan menerusi lapan sesi dialog dengan penekanan terhadap keseimbangan pembangunan dan pemeliharaan warisan, kelestarian ekosistem serta peranan generasi muda sebagai peneraju perubahan.
LiD 26 dianjurkan Majlis Pelancongan Lenggong dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark, serta sokongan Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan rakan strategik dalam serta luar negara. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


