RKK Lenggong Geopark dijangka siap hujung tahun ini

IPOH – Majlis Daerah Lenggong (MDL) sedang menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Lenggong Geopark bagi memastikan pembangunan kawasan Lenggong UNESCO Global Geopark (UGGp) dilaksanakan secara lebih terancang, bersepadu dan holistik.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, dokumen berkenaan dijangka siap pada hujung tahun ini sebelum melalui proses kelulusan dan seterusnya diwartakan mengikut peruntukan serta prosedur ditetapkan.

“Dokumen RKK ini amat penting kerana ia akan menjadi asas perancangan yang lebih terperinci bagi menentukan hala tuju pembangunan, pemuliharaan dan pengurusan kawasan geopark.

“Antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk aspek guna tanah, zon pemuliharaan, pembangunan produk pelancongan, kemudahan dan infrastruktur pelawat, aksesibiliti, papan tanda, interpretasi, pengurusan tapak, pembangunan ekonomi komuniti serta mekanisme pelaksanaan yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Husairi Ariffin (PN-Kenering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.

Tambah beliau, dengan wujudnya RKK ini kelak, pembangunan Lenggong UGGp akan mempunyai satu pelan tindakan ruang dan pembangunan yang lebih jelas, bersepadu dan holistik, sekali gus membolehkan keutamaan pembangunan serta keperluan peruntukan diselaraskan secara lebih sistematik antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi teknikal berkaitan.

Sze Yee berkata, Lenggong UGGp kini meliputi kawasan seluas 2,248 kilometer persegi, merangkumi lima mukim iaitu Lenggong, Mukim Temelong, Mukim Durian Pipit, Mukim Kenering dan Mukim Gerik.

Katanya, kawasan yang luas itu menjadikan pembangunan Lenggong UGGp bukan hanya tertumpu kepada satu lokasi atau satu produk pelancongan, sebaliknya melibatkan pembangunan sebuah wilayah yang kaya dengan warisan geologi, biodiversiti, arkeologi, sejarah, budaya, dan kehidupan komuniti setempat.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan bahawa pembangunan geopark hendaklah dilaksanakan secara holistik dan berteraskan tiga komponen utama.

“Pemuliharaan warisan dan pakej pelancongan melalui Jawatankuasa Geopelancongan Lenggong UGGP; Pendidikan dan penyelidikan melalui Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan dan Pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan melalui Jawatankuasa Geokomuniti,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI