IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM RM18,755,278.77 juta daripada enam syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Kinta di sini pada Selasa.
ZAPAR dalam kenyataan memaklumkan Empayar Indera Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Hasrin Abdul Rahman mendahului senarai syarikat pembayar zakat dan menyerahkan RM200,000.
Penyerahan zakat itu disusuli Kumpulan Kewangan Islam Maybank diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berjumlah RM4.087 juta.
Seterusnya, Lembaga Tabung Haji yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad menyerahkan zakat berjumlah RM6,497,476.64 diikuti Public Islamic Bank Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamsul Azuan Ahmad Fauzi dengan jumlah RM300,000.
Selain itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Shamsul Ahmad yang menyalurkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7.285 juta dan penyerahan zakat perniagaan diakhiri YP Nominees Holdings Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rozita Ramli berjumlah RM385,802.13.
Sultan Nazrin kemudiannya menyerahkan zakat tersebut kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Terdahulu, berlangsung majlis pengurniaan watikah kepada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak Asmori Sa’ahari sebagai anggota MAIPk.
ZAPAR dalam kenyataan sama turut memaklumkan sumbangan zakat yang diterima hari ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi lambang kepercayaan dan iltizam berterusan para pembayar zakat dalam memperkasakan agenda pembangunan ummah.
“ZAPAR komited untuk menguruskan serta mengagihkan dana zakat secara cekap, telus dan berakauntabiliti agar manfaatnya dapat dirasai oleh golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
“Sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak RM63,144,266.41 telah diagihkan kepada golongan asnaf di negeri Perak melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa amanah yang diberikan oleh para pembayar zakat terus diterjemahkan kepada manfaat yang nyata untuk masyarakat yang memerlukan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


