IPOH – Bekas EXCO Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim disahkan kembali menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) selepas enam tahun meninggalkan parti berkenaan susulan kemelut politik yang melanda negara pada 2020.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun 2026 di sini pada Ahad.
Asmuni berkata, hasrat Hasnul untuk kembali menyertai Amanah sebenarnya telah disuarakan sejak sekian lama, namun permohonan tersebut hanya diproses selepas melihat kepada perkembangan politik semasa yang membolehkan ia dipertimbangkan semula.
“Hasnul sudah lama berhasrat untuk menyertai semula Amanah, namun suasana sebelum ini tidak begitu kondusif untuk perkara itu dibincangkan dan diputuskan.
“Beliau meninggalkan Amanah dahulu pun bukan kerana dipecat atau disingkirkan parti, sebaliknya ia berlaku susulan peristiwa yang menimpa kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak ketika itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Asmuni berkata, penerimaan semula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong dan bekas Ketua Pemuda Amanah Nasional itu diputuskan menerusi mesyuarat Pengurusan Nasional dan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 18 Jun lalu.
Namun ujar beliau, penyertaan semula Hasnul Zulkarnain itu masih tertakluk kepada garis panduan yang sedang dirangka untuk semua bekas ahli yang diterima kembali ke dalam parti.
Mengulas berkenaan kepentingan kemasukan semula pemimpin lama ke dalam parti, Asmuni berkata, ramai bekas ahli masih mempunyai kesetiaan dengan perjuangan parti asal mereka walaupun telah berada di luar.
“Perkara ini bukan hanya berlaku dalam Amanah sahaja, malah turut berlaku dalam parti-parti lain seperti UMNO, apabila ada bekas ahli yang memilih untuk kembali bersama parti yang pernah mereka sertai.
“Mungkin sebelum ini faktor suasana politik ketika itu serta kurang kematangan dalam membuat keputusan menyebabkan mereka ini mengambil langkah meninggalkan parti,” katanya.

Pada masa sama, Asmuni yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi menolak dakwaan bahawa , Hasnul Zulkarnain menjadi antara punca kejatuhan kerajaan PH di Perak pada 2020.
Jelas beliau, PH ketika itu telah pun kehilangan kuasa di peringkat kerajaan negeri selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik diri daripada PH bagi membentuk gabungan politik baharu.
“Kerajaan PH sudah jatuh terlebih dahulu apabila Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan Bersatu menarik diri daripada PH.
“Hanya selepas pengumuman itu, Hasnul dan Paul Yong Choo Kiong menyatakan sokongan kepada kerajaan yang dibentuk kemudian. Jadi, dakwaan bahawa mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan negeri adalah tidak tepat,” katanya.
Pada Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN PH mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Selain Hasnul Zulkarnain, bekas Exco Perak yang juga bekas ADUN Tronoh, Choo Kiong serta bekas ADUN Buntong, A Sivasubramaniam masing-masing dari DAP turut menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ketika itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Amanah Perak desak siasatan terhadap Ahmad Fadhli susulan karikatur provokatif


