‘Darah Muda’ 23 tahun vs ‘Otai’ 73 tahun warnai PRN Johor

BATU PAHAT – Danish Hossman Abd Rahman muncul calon paling muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pada usia 23 tahun, Danish Hossman diberikan kepercayaan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama dan akan berdepan saingan tiga penjuru.

Danish Hossman akan berdepan penyandang kerusi berkenaan, Norlizah Noh dari Barisan Nasional (BN), yang memenangi kerusi berkenaan pada PRN lepas dengan majoriti 6,039 selain berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Aisah Esa.

DUN Johor Lama yang terletak dalam Parlimen Kota Tinggi mempunyai 32,716 pemilih yang layak mengundi pada PRN kali ini.

Sebagai perbandingan, calon termuda pada PRN Johor ke-15 ialah Muhammad Airel Zabridin (Pejuang) di DUN Tangkak dan Kelly Chye Pei Yee (BN) di DUN Mengkibol, yang masing-masing berusia 26 tahun ketika itu.

Sementara itu, Lim Chin Eng @ Roland Lim yang mewakili PN muncul sebagai calon paling tua pada PRN kali ini, dan bertanding di DUN Stulang yang dimenangi Andrew Chen Kah dari PH pada pilihan raya lepas dengan majoriti 2,866.

Lim, 73, akan bersaing dalam pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang selain Bong Seng Heng (BN) serta Stanley Tan daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

DUN Stulang terletak dalam Parlimen Johor Bahru dan pada PRN kali ini terdapat 60,029 pemilih layak mengundi.

Pada PRN lepas, calon tertua ialah Tosrin Jarvanthi yang mewakili PN pada usia 71 tahun.

PRN Johor ke-16 juga menyaksikan sebanyak 34 daripada keseluruhan 172 calon yang bertanding ialah wanita, dengan PH mempertaruhkan jumlah calon wanita terbanyak, iaitu 12 orang.

Pada PRN lepas, sebanyak 239 calon bertanding dan daripada jumlah itu 37 ialah wanita, manakala 202 lagi lelaki.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor..

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI