IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia sedang memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi seperti China, Indonesia, Jepun dan India.
Timbalan Menterinya, Chiew Choon Man berkata, selain itu, pihaknya turut menyasarkan pasaran jarak jauh termasuk Rusia, Jerman dan Australia.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kepelbagaian bagi memastikan daya tahan industri pelancongan Malaysia terus kukuh.
“Kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri bagi menangani cabaran operasi dan tekanan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Festival Budaya Malaysia (FBM) @ Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini malam ini.
Perasmian festival anjuran MOTAC yang berlangsung dari 25 hingga 28 Jun itu telah disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Choon Man berkata, momentum pelancongan negara berada pada trajektori yang positif apabila berjaya merekodkan ketibaan seramai 42.2 juta pelawat pada tahun 2025 meningkat sebanyak 11.2 peratus berbanding 38 juta pelawat pada tahun sebelumnya.
“Sehingga Mei tahun ini, negara telah menerima seramai 17.5 pelawat meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta pada tahun lalu.
“Prestasi semasa ini membuktikan kita berada di landasan yang kukuh untuk mengekalkan momentum positif pada tahun 2026,“ ujarnya.

Katanya, bagi memastikan hasrat dan momentum pembangunan ini tidak terhenti, sokongan padu dalam bentuk pembangunan infrastruktur amatlah kritikal.
“Sehubungan itu, saya ingin berkongsi insentif pembangunan pelancongan dan kebudayaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) kerajaan Persekutuan melalui MOTAC, memperuntukkan sebanyak RM44,189,100 melibatkan 13 projek di Perak
“Antara projek yang terlibat termasuklah memulihara Menara Condong, Teluk Intan; menarik taraf bangunan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak dan menaik taraf kawasan pelancongan di Kinta Riverwalk di Ipoh,“ jelasnya.
Beliau juga turut menzahirkan rasa bangsa dengan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menterjemah dan menjajarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
“Melalui penerapan tema ‘Seni, Budaya dan Warisan’ dalam acuan Sejahtera Sosial, kedua-dua agenda besar ini terbukti berpasak pada visi yang sama, berteraskan gagasan Malaysia MADANI.
“Sinergi utuh seumpama ini memastikan kebudayaan kita tidak lagi terperangkap sebagai khazanah masa lalu, sebaliknya bangkit sebagai pemacu ekonomi dinamik yang mampu mengangkat martabat jati diri rakyat Perak di persada dunia,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pantai Timur Fest 2026 sokong pertumbuhan pelancongan domestik


