IPOH – Penganjuran Pantai Timur Fest 2026 (PTF 2026) bukan sahaja menyokong pertumbuhan pelancongan domestik, malah membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat, usahawan kecil dan penggiat industri kreatif.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, festival itu diadakan buat kali kedua Ipoh kerana kedudukannya yang strategik sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Menurutnya, penganjuran program tersebut secara tidak langsung membantu memperkukuhkan promosi produk pelancongan, seni, budaya dan warisan Pantai Timur kepada khalayak yang lebih luas.
“Pemilihan Ipoh juga membolehkan keunikan Kelantan, Terengganu dan Pahang diperkenalkan kepada khalayak yang lebih luas, khususnya pengunjung dari wilayah utara, tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.

“Lebih istimewa, penganjuran festival ini selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia.
“Tourism Malaysia komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak industri dan komuniti setempat dalam memperkasakan produk pelancongan yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi kepada ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program PTF 2026 di Aeon Kinta City, di sini hari ini. Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Dalam pada itu, Mohd Amirul Rizal berkata, kawasan Pantai Timur memiliki keistimewaan tersendiri daripada pantai yang mempesonakan, pulau-pulau yang indah, hutan tropika yang menghijau, hinggalah kepada warisan budaya yang kaya dan masyarakat yang terkenal dengan keramahan mereka.

“Festival ini bukan sekadar platform hiburan dan pameran, tetapi juga medium untuk mempromosikan produk pelancongan, memperkasakan usahawan tempatan, memperluaskan jaringan industri serta memperkukuhkan identiti budaya Malaysia.
“Lebih menarik, PTF 2026 menghimpunkan sebanyak 30 reruai pameran yang terdiri daripada pelbagai pemain industri pelancongan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Antaranya ialah agensi jualan pakej pelancongan, hotel, taman tema, pemilik produk pelancongan serta Online Travel Agent (OTA) yang menawarkan pelbagai produk dan pengalaman pelancongan menarik kepada para pengunjung,” ujarnya.
Katanya, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai promosi eksklusif, diskaun pakej pelancongan dan tawaran istimewa daripada pempamer sebagai galakan untuk meneroka destinasi-destinasi menarik di Pantai Timur sempena TMM 2026. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelancong domestik ke Perak meningkat 10.4 juta pada 2025


