IPOH – Kedatangan pelancong domestik bermalam di Perak meningkat kepada 10.4 juta orang pada tahun 2025 berbanding 10.2 juta pada tahun sebelumnya.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, bagaimanapun negeri tersebut merekodkan penurunan 1.5 peratus hingga bagi ketibaan pelancong antarabangsa.
Menurutnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada penurunan tersebut ialah kekurangan penerbangan bagi laluan dari Singapura ke Ipoh.
“Bagaimanapun, kami mendapati bahawa secara visualnya, mereka yang masuk melalui KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) memang ramai namun pengurangan pelancong yang tiba melalui udara memberi kesan kepada jumlah keseluruhan ketibaan antarabangsa.
“Jadi, ini telah memberi kesan kepada kami,” pada sidang media selepas menghadiri Pantai Timur Fest 2026 yang dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim di Aeon Kinta City, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil pelbagai langkah alternatif bagi meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa, khususnya ketika industri penerbangan global berdepan pelbagai kekangan termasuk faktor kos operasi.
“Sudah tentu dengan penerbangan dan harga minyak kebelakangan ini, kami mendapati keseluruhan dunia pun mengalami sedikit kekangan daripada konteks penerbangan.
“Tetapi pada masa yang sama untuk Perak, kami juga mengorak langkah-langkah yang lain, alternatif,” jelasnya.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menerima ketibaan kapal persiaran di Lumut sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri itu.
“Sebagai contoh di Lumut, baru-baru ini kami telah menerima dua buah kapal persiaran sebagai percubaan untuk penerimaan pelancong antarabangsa ke negeri Perak.
“Ini juga merupakan satu lembaran baharu kepada negeri Perak di mana secara tradisionalnya dulu yang datang cuma kebanyakannya melalui jalan darat, ada juga Ipoh-Singapura.
“Kapal persiaran ini juga merupakan satu lembaran baharu kepada kami dalam percubaan kami untuk menambahkan apa yang dikatakan pelancong-pelancong antarabangsa,“ ujarnya.Top of Form
Terdahulu Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, dari segi destinasi, Selangor kekal sebagai negeri paling banyak dikunjungi pelawat domestik pada tahun lepas dengan 36.4 juta pelawat, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 35.1 juta pelawat dan Perak berjumlah 23.6 juta pelawat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sedia muncul hab pelancongan kapal persiaran baharu – Sze Yee


