Perak sedia muncul hab pelancongan kapal persiaran baharu – Sze Yee

LUMUT – Perak bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab baharu bagi pelancongan kapal persiaran di negara ini dengan menawarkan alternatif kepada pelabuhan sedia ada di negeri lain menerusi ketibaan sulung kapal persiaran ‘Star Dream Cruise’, pada Isnin.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata, persinggahan kapal yang membawa kira-kira 3,000 penumpang antarabangsa itu menjadi titik penting dalam usaha memperkenalkan Perak sebagai destinasi pelayaran yang berdaya saing di rantau ini.

Katanya, industri pelayaran kapal persiaran mempunyai potensi yang besar sebagai pemangkin ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan pelancong, peluang pekerjaan dan pembangunan pelancongan setempat.


Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee hadir ke majlis sambutan 3,000 pelancong antarabangsa dari Kapal Persiaran Star Dream Cruise di Jeti Marina Island, Lumut.

“Ini merupakan satu peristiwa bersejarah kerana buat pertama kalinya sebuah kapal persiaran singgah di Perak. Ia membuka ruang kepada negeri ini untuk muncul sebagai destinasi pelayaran baharu yang menarik selain pelabuhan-pelabuhan utama yang sedia ada seperti di Klang, Selangor serta Pulau Pinang.

“Justeru, ketibaan pelancong antarabangsa dalam jumlah besar akan memberi limpahan ekonomi kepada sektor makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hospitaliti serta perusahaan kraf tangan tempatan,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Sambutan Kapal Persiaran Star Dream Cruise di Jeti Marina Island di sini, pada Isnin.

Sze Yee memaklumkan, pelancong yang turun dari kapal tersebut diberikan pilihan sama ada meneruskan perjalanan ke Pulau Pangkor atau mengikuti lawatan ke beberapa destinasi pelancongan lain di negeri ini termasuk sekitar Ipoh dan Sitiawan.

Antara pelancong yang tiba dari Kapal Persiaran Star Dream Cruise di Jeti Marina Island, Lumut.

Kata beliau, pendekatan itu membolehkan pelancong dapat menikmati pengalaman yang pelbagai di samping memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan negeri kepada pasaran antarabangsa.

“Kerajaan negeri memberikan komitmen penuh bagi memastikan urusan pendaratan kapal persiaran berjalan lancar pada masa hadapan termasuk aspek logistik, dokumentasi, keselamatan dan penyelarasan bersama agensi berkaitan. Kami mahu memastikan setiap pelancong yang tiba memperoleh pengalaman terbaik sepanjang berada di Perak,” katanya lagi.

Menurut Sze Yee, kapal persiaran berkenaan dijadualkan akan singgah sekali lagi di Jeti Marina Island pada 22 Jun depan bersama kapasiti penumpang yang hampir sama.

Justeru beliau berkata, agensi pelancongan negeri, Tourism Perak, sedang bekerjasama dengan pengendali kapal persiaran dan ejen pelancongan bagi memperluaskan aktiviti serta pakej lawatan yang ditawarkan kepada penumpang.


Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee (empat dari kanan) hadir ke majlis sambutan 3,000 pelancong antarabangsa dari Kapal Persiaran Star Dream Cruise di Jeti Marina Island, Lumut.

Kata beliau, kerajaan negeri juga merancang menghimpunkan produk tempatan dari seluruh Perak di satu lokasi khas berhampiran jeti bagi memudahkan penumpang kapal berkenaan mendapatkan cenderamata dan produk warisan tempatan.

“Jika mereka tidak sempat mengunjungi semua destinasi di Perak, mereka masih boleh mengenali dan membeli produk tempatan terkenal seperti kopi putih, madu kelulut dan pelbagai hasil tempatan lain di satu tempat.

“Usaha ini bukan sahaja mempromosikan produk tempatan, malah membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembangunan sektor pelancongan pelayaran kapal persiaran berpotensi meningkatkan profil Perak di peringkat global sekali gus menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan pelancongan pada masa hadapan. – MG Perak

 

 

Artikel Berkaitan:

Orang Asli Perak disaran bergiat aktif dalam ekopelancongan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI