MAIPk taja 25 belia asnaf ikuti kursus perkapalan

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan sebanyak RM470,000 bagi menaja 25 belia asnaf untuk mengikuti Kursus Kelasi Kapal (Deck dan Enjin) dalam bidang perkapalan di Terengganu.

MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, ia merupakan usaha dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Katanya, di bawah inisiatif itu setiap seorang menerima tajaan bernilai RM18,800 yang mana ia merangkumi latihan teori dan amali, pensijilan profesional dan Lesen Pelaut sebagai persediaan untuk memasuki industri perkapalan.

“Sepanjang tiga bulan, para peserta akan mengikuti latihan profesional di Ranaco Education Training Institute, di Chukai, Terengganu.

“Sejurus menamatkan latihan, para peserta akan terus ditempatkan bekerja dalam industri perkapalan, sekali gus memperoleh peluang membina kerjaya profesional, meningkatkan kompetensi serta menikmati prospek pendapatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu majlis pelepasan peserta disempurnakan Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.

Dalam pada itu MAIPk berkata, pelaburan berkenaan mencerminkan iltizam MAIPk untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

Menurut kenyataan sama, usaha itu juga sekali gus membuka laluan kepada kehidupan belia asnaf yang lebih mampan dan sejahtera.

“TVET bukan sekadar platform pembangunan kemahiran, malah menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi golongan asnaf.

“Semoga semua peserta berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang dan seterusnya menjadi tenaga kerja profesional yang berintegriti, berdaya saing serta mampu mengubah masa depan diri dan keluarga melalui laluan TVET,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

TVET agenda ekonomi, pekerjaan, masa depan anak muda Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI