KITA mesti menerima hakikat bahawa kekuatan sesebuah negeri tidak lagi boleh diukur hanya pada sumber asli, keluasan tanah atau projek pembangunan fizikal.
Kekuatan sebenar kini terletak pada keupayaan negeri melahirkan tenaga mahir yang mampu menguasai teknologi, memenuhi kehendak industri dan mencipta nilai baharu kepada ekonomi.
Justeru itu, dalam konteks ini Perak dilihat mempunyai potensi besar ekoran kedudukannya yang strategik dengan perkembangan industri melalui pembangunan lima nod pertumbuhan utama.
Ianya melibatkan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Silver Valley Technology Park (SVTP) serta Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan beliau semasa Jelajah AIM TVET Negeri Perak baru-baru ini berkata, agenda AHTV sendiri menjadikan Perak bukan sekadar negeri yang menerima pembangunan tetapi mampu melahirkan bakat memacu pembangunannya.
Jelas beliau, rentetan itu usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Perak tidak boleh dilihat sebagai agenda pendidikan semata-mata.
“Ia adalah agenda ekonomi, agenda pekerjaan dan agenda masa depan anak muda Perak. Kita mahu anak-anak muda menjadi pemain utama; sebagai juruteknik, teknologis, pakar automasi, usahawan teknologi dan tenaga mahir yang menggerakkan ekonomi masa depan negara.
“Jika usaha ini digerakkan dengan tersusun, saya yakin Perak mampu muncul sebagai salah satu koridor penting TVET negara tempat di mana bakat muda dibentuk, industri diperkukuh dan masa depan ekonomi negeri dibina melalui kemahiran,” katanya.
Hal ini cukup jelas membuktikan bahawa usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan agenda TVET dan menjadikan Perak sebagai Koridor TVET negara selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Ini kerana, Perak pada hari ini sedang berada dalam fasa pembangunan yang cukup penting di mana melalui Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha membina ekonomi negeri yang lebih kukuh, mampan dan mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Pembangunan ekonomi tidak boleh bergerak secara terpisah daripada pembangunan bakat kerana pelaburan, kawasan industri, infrastruktur dan projek pembangunan hanya akan memberi kesan yang lebih bermakna sekiranya anak-anak tempatan turut bersedia mengisi peluang yang terbuka.
Maka tidak hairanlah jika agenda TVET diberi perhatian serius sebagai persediaan Kerajaan Perak membina tenaga kerja tempatan yang mahir dan mampu memenuhi keperluan industri.

Inilah antara asas penting kepada hasrat Perak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai Koridor TVET Negara menjelang tahun 2030.
Atas asas itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis TVET Negeri Perak pada tahun 2024 sebagai platform penyelarasan antara kerajaan, institusi latihan, sekolah, pemain industri dan agensi berkaitan. Penubuhan majlis ini penting supaya perancangan TVET di Perak disusun mengikut keperluan sebenar negeri dan industri.
Pusat Aspirasi Anak Perak atau PASAK pula memainkan peranan sebagai Sekretariat Majlis TVET Negeri dengan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula telah digerakkan supaya peluang TVET dapat diperluas kepada lebih ramai rakyat Perak.
Dalam Belanjawan Negeri Perak 2026, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta kepada Sekretariat Majlis TVET Negeri Perak bagi memperkukuh agenda TVET.
Peruntukan ini menzahirkan kesungguhan negeri untuk memastikan program latihan, pemadanan kemahiran dan kerjasama industri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah ketika membaca teks ucapan Menteri Besar Perak semoena Jelajah AIM TVET Negeri Perak memaklumkan sejak 2022, sebanyak 12 kluster program upskilling dan reskilling telah digerakkan oleh PASAK.

Beliau berkata, antaranya meliputi antaranya TVET modular industri, mahir kerja, OKU, Orang Asli, tahfiz, usahawan, pelancongan dan desa mahir.
“Saya dimaklumkan, sehingga kini seramai 11,969 peserta telah menerima manfaat daripada pelaksanaan 12 kluster tersebut.
“Ini memberi gambaran bahawa agenda TVET di Perak turut menyantuni pekerja, komuniti desa, golongan rentan, usahawan kecil dan mereka yang mahu meningkatkan keupayaan diri,” katanya.
Perak juga mempunyai sebanyak 161 Pusat Bertauliah TVET yang masih aktif berdasarkan senarai Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Daripada jumlah itu, 40 merupakan institusi TVET awam, 39 institusi TVET swasta, 10 kolej vokasional dan 72 sekolah yang menawarkan bidang TVET.
Ini adalah kekuatan besar yang perlu terus diselaraskan agar jaringan TVET di Perak benar-benar menjawab keperluan industri serta membuka akses latihan kemahiran kepada lebih ramai anak negeri -MG Perak



