TELUK INTAN – Polis sedang menyiasat seorang wanita yang dipercayai membuat laporan palsu berhubung kejadian samun yang didakwa berlaku di kawasan parkir berhampiran sebuah premis perniagaan di Taman Ros, Teluk Intan, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, wanita berusia 48 tahun itu sebelum ini telah tampil membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya telah disamun oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
“Individu itu mendakwa beg tangannya yang mengandungi wang tunai serta barangan peribadi telah dirampas dalam kejadian tersebut.
“Bagaimanapun, hasil siasatan terperinci yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak mendapati kejadian samun seperti yang dilaporkan tidak pernah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kok Lian berkata, susulan itu wanita berkenaan kemudiannya mengaku membuat laporan polis palsu ekoran berdepan dengan masalah peribadi.
Menurut beliau, tiada tangkapan dibuat namun pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada seorang penjawat awam.
Ujar beliau, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga Rm2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Justeru itu Kok Lian menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar, tepat dan jujur ketika membuat laporan polis.
Beliau berkata, sebarang laporan palsu atau penyembunyian fakta boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap pelakunya.
“Polis memandang serius perbuatan membuat laporan palsu kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan aset pasukan yang sepatutnya digunakan untuk menyiasat kes-kes jenayah sebenar,” tegas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


