BAGAN DATUK – Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di sini, sejak Ahad.
Remaja terbabit dikenali sebagai Nur Ain Abdul Rahman dan laporan mengenai kehilangannya diterima pihak polis pada 5 Julai.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, berdasarkan maklumat awal, remaja berkenaan dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi pada hari sama sebelum gagal dikesan sehingga kini.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan orang ramai bagi mengesan remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 5 Julai 2026.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat individu berkenaan diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohammad Ali berkata, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan lokasi remaja berkenaan dengan segera.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk atau balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.
Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhamad Arfha Mohd Ali di talian 012- 5924331 bagi membantu usaha mengesan remaja terbabit. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kanak-kanak OKU hilang ditemui maut dalam parit kebun kelapa sawit


