Hilang 15 hari: Semangat survival tinggi dorong Jaslinda mampu terus bertahan

TAPAH – Kekuatan dalam diri dan semangat survival yang tinggi dipercayai menjadi dorongan buat Jaslinda Saludin, 49, sehingga mampu bertahan sepanjang 15 hari selepas dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih di sini.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berpandangan, wanita itu mempunyai keazaman yang kuat untuk terus keluar dari kawasan hutan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Ini bukan soal kemahiran semata-mata, tetapi semangat untuk terus keluar dan meneruskan survival dalam dirinya yang sangat kuat.

“Berdasarkan jangkaan, dia akan ikut laluan sungai dan itu antara faktor yang membolehkan dia terus bertahan.

“Jika berada jauh daripada sumber air, kemungkinan untuk terus hidup menjadi lebih sukar,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah, di sini, pada Sabtu.

Muzafar berkata, sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, kawasan lokasi mangsa ditemukan sebenarnya berada dalam zon yang telah diberi perhatian oleh pasukan SAR.

Bagaimanapun beliau berkata, laluan berkenaan amat mencabar kerana dipenuhi lembah, sungai dan air terjun sehingga menyukarkan pasukan malim gunung untuk menjejakinya.

Muzafar turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang operasi pencarian  Jaslinda berlangsung.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang tersesat di dalam hutan supaya tidak bergerak terlalu jauh dari laluan asal bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan kedudukan mereka.

“Pada peringkat awal kehilangan, pasukan mencari akan menumpukan pencarian di sekitar trek sedia ada. Jika mangsa terus bergerak semakin jauh, usaha mengesan mereka akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepentingan untuk mengamalkan sistem berpasangan atau ‘buddy system’ dalam setiap aktiviti rekreasi di kawasan hutan.

“Apabila berada di alam semula jadi, kita meletakkan keselamatan diri sepenuhnya kepada ihsan alam.

“Peluang untuk terus selamat juga bergantung kepada rakan yang dapat membantu atau mendapatkan bantuan ketika berlaku kecemasan. Jadi, setiap aktiviti rekreasi wajar dilakukan secara berteman,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

‘Saya tahu isteri saya kuat’ – Suami Jaslinda

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI