Digitalisasi kesihatan kurangkan kesesakan hospital – Hanifah

KUALA LUMPUR – Pendigitalan sistem kesihatan awam menerusi pelaksanaan rekod kesihatan elektronik (EMR), sistem pengurusan klinik berasaskan awan serta aplikasi MySejahtera mula menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan tempoh menunggu dan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pelaksanaan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di klinik kesihatan berjaya memperkemas aliran kerja selain mempercepatkan proses rawatan pesakit.

Menurut beliau, sebelum pelaksanaan CCMS, tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan di sesetengah klinik boleh mencecah sehingga tiga jam, bergantung kepada jumlah kehadiran pesakit serta beban kerja fasiliti.

“Selepas pelaksanaan CCMS, trend masa menunggu menunjukkan penambahbaikan yang konsisten. Data pemantauan terkini menunjukkan 81 peratus pesakit dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh 60 minit.

“Manakala baki 19 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh antara 60 hingga 90 minit bergantung kepada tahap kes dan beban kerja klinik,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Salmiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan inisiatif digitalisasi sistem kesihatan awam seperti MySejahtera dan rekod kesihatan elektronik dalam mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

Hanifah Hajar berkata, sistem EMR yang meliputi CCMS di klinik kesihatan, Dental Information System (DIS) di klinik pergigian dan Total Hospital Information System (THIS) di hospital berasaskan pengkomputeran awan menjadi antara penyelesaian kepada cabaran penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Katanya, sistem itu membolehkan warga kesihatan memperoleh maklumat pesakit dengan lebih pantas selain memudahkan pengurusan janji temu susulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, aplikasi MySejahtera kini menyediakan kemudahan tempahan janji temu bagi 18 jenis perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan klinik pergigian.

“Sehingga kini, 29 juta transaksi tempahan janji temu telah direkodkan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, manakala lebih enam juta tempahan janji temu pergigian turut dicatatkan,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang mengintegrasikan sistem CCMS dengan MySejahtera bagi membolehkan akses rekod kesihatan secara lebih menyeluruh.

Katanya, integrasi berkenaan kini merangkumi 30 juta individu dengan rekod vaksinasi, 12 juta individu dengan rekod preskripsi ubat, lima juta individu dengan rekod pergigian, lima juta individu dengan rekod saringan kesihatan serta satu juta individu dengan ringkasan lawatan klinik.

“Ini memudahkan akses kepada rekod kesihatan, mempercepatkan proses rawatan serta meningkatkan kesinambungan penjagaan pesakit antara fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 7 Julai 2026, sebanyak 510 daripada 2,917 klinik primer telah menggunakan sistem EMR sepenuhnya, manakala 320 daripada 728 klinik pergigian dan 22 daripada 151 hospital turut menggunakan sistem berkenaan.

Katanya, proses pendigitalan semua klinik primer dan klinik pergigian dijangka selesai pada 2028, manakala hospital pula disasarkan lengkap menjelang 2030.

Dalam perkembangan sama, Hanifah Hajar berkata, KKM akan melaksanakan sistem Total Hospital Information System (THIS) secara berfasa membabitkan 20 hospital dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Pelaksanaan itu, katanya, turut melibatkan integrasi maklumat makmal, pengimejan, tabung darah dan farmasi bagi meningkatkan kecekapan operasi hospital.

“KKM akan meneruskan agenda pendigitalan kesihatan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih cekap, bersepadu dan berpusatkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI