TANJUNG MALIM – Sumbangan kenderaan elektrik Proton e.MAS 7 kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membantu memperkukuhkan pembelajaran berasaskan industri, khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta teknologi automotif.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sumbangan daripada PROTON mencerminkan komitmen pihak industri dalam memperkasa pendidikan TVET, khususnya melalui pendedahan secara langsung kepada perkembangan teknologi kenderaan elektrik yang semakin berkembang dalam industri automotif.
“Alhamdulillah, kenderaan ini bakal menjadi medan pembelajaran sebenar buat mahasiswa UPSI, menghubungkan ilmu teori dengan aplikasi industri serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bersedia menghadapi tuntutan teknologi masa hadapan.
“Lebih daripada sebuah kenderaan, inisiatif ini merupakan pelaburan ilmu dan masa depan, seiring dengan pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Terdahulu majlis penyerahan yang berlangsung pada Khamis lalu di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, di sini turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa yang disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Md Amim turut menzahirkan penghargaan kepada PROTON atas kepercayaan dan sokongan strategik itu serta berharap sinergi antara universiti dan industri automotif dapat terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu memacu kemajuan negara.
Menurut Md Amin, kenderaan Proton e.MAS 7 itu akan dimanfaatkan sebagai bahan dan peralatan sokongan bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP), demonstrasi teknikal serta latihan amali, khususnya kepada pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI.
“Kemudahan berkenaan membolehkan pelajar memperoleh pendedahan secara langsung kepada teknologi automotif terkini termasuk sistem kenderaan elektrik, komponen elektronik, teknologi bateri dan sistem pengurusan kenderaan moden.
“Selain memperkaya pengalaman pembelajaran melalui pendekatan autentik dan latihan berasaskan teknologi sebenar, sumbangan itu turut membuka ruang kepada pelaksanaan latihan, pemindahan pengetahuan serta pembangunan kompetensi tenaga kerja bagi memenuhi keperluan ekosistem AHTV di Tanjong Malim,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rashid turut menghadiri majlis pelancaran Centre of Mobility Smart Technology (MoST) UPSI dan menyatakan sokongan PROTON terhadap penubuhan pusat berkenaan.
MoST UPSI merupakan platform multidisiplin yang memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian mobiliti pintar dan mampan menerusi penyelidikan, inovasi TVET serta kerjasama strategik dengan industri.
Penubuhan pusat itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi, penyelidikan dan bakat dalam bidang mobiliti pintar, selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem pengangkutan yang lebih cekap, inovatif dan mampan. -MG Perak


