Dua remaja ditahan disyaki pecah cermin lapan kenderaan di Gerik

GERIK – Polis berjaya menahan dua remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat memecahkan cermin kenderaan di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kedua-dua suspek berusia 13 dan 14 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian hasil tindakan pantas sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Menurutnya, polis menerima lapan laporan berhubung kejadian pecah cermin kenderaan yang berlaku di Taman Sri Temenggor, Taman Meha dan Taman Gerik di sini pada jam 2.38 petang semalam.

“Siasatan mendapati sebanyak lapan buah kenderaan pelbagai jenis mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM10,000.

“Suspek dipercayai menggunakan batu dan bata untuk memecahkan cermin kenderaan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut bersama dua lagi rakan yang masih bebas dan sedang dikesan polis.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sebuah motosikal, topi keledar dan pakaian yang dipakai semasa melakukan perbuatan khianat itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda,“ ujarnya.

Sehubungan itu, Abdul Samad menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan masa depan.

“Ibu bapa juga boleh dikenakan liabiliti perundangan sekiranya anak-anak didapati terbabit dalam jenayah, ponteng sekolah atau melakukan perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam seperti buli dan vandalisme akibat kecuaian dalam jagaan dan kawalan,” jelasnya.

Justeru, beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan segera bagi membantu siasatan serta mencegah kejadian jenayah daripada terus berlaku.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua motosikal dinaiki tiga individu melalui sebuah rumah dan salah seorang daripadanya bertindak melempar objek ke arah kenderaan di dalam kediaman tersebut sekitar jam 1.35 pagi Jumaat lalu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis buru penunggang motosikal pecahkan cermin kereta guna topi keledar 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI