Polis buru penunggang motosikal pecahkan cermin kereta guna topi keledar 

IPOH – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledar dalam insiden yang berlaku di Jalan Raja Ashman Shah, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki warga tempatan, berhubung kejadian itu yang berlaku sekitar jam 1.26 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa membunyikan hon ke arah sebuah motosikal yang ditunggang secara tidak stabil dan hampir memasuki laluannya.

“Susulan itu, penunggang motosikal berkenaan bertindak agresif dengan memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa menggunakan topi keledar.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Najib berkata, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Beliau berkata, rakaman video kejadian yang tular di media sosial termasuk di platform Threads dan Facebook kini dijadikan bahan siasatan.

“Rakaman kamera papan pemuka yang diperoleh sedang dianalisis bagi membantu siasatan, namun nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti dengan jelas,” katanya.

Tambahnya, suspek yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dipercayai menunggang sebuah motosikal jenis Honda Dash berwarna biru ketika kejadian.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali suspek diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Polis sedia tambah anggota, logistik pastikan PRN berjalan lancar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI