Mahasiswa PUO raih Ikon Teknologi Kejuruteraan Terbaik menerusi inovasi ‘sistem AI kesan kerosakan konkrit’

IPOH – Projek sistem prototaip berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kerosakan pada permukaan konkrit membawa tuah kepada Muhammad Thalha Hamdan, 24, apabila dinobatkan sebagai penerima Ikon Teknologi Kejuruteraan Terbaik di Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS).

Pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar (PUO) itu meraih kejayaan tersebut menerusi kajian bertajuk, ‘Development of an AI-Based Quality Inspection System Using MobileNetV2 for Construction Defect Detection’.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, idea itu tercetus ketika dia menjalani projek pembelajaran berasaskan kerja (WBL) di Gamuda Engineering, Bandar Gamuda Cove.

Menurutnya, projek itu dibangunkan bertujuan untuk membantu industri pembinaan mengenal pasti kerosakan struktur konkrit dengan lebih pantas, sistematik dan tepat menerusi penggunaan teknologi AI.

“Saya menghasilkan satu sistem prototaip AI bagi mengenal pasti punca kerosakan pada permukaan konkrit. Dalam sistem prototaip yang dibangunkan ini pada mulanya saya tidak begitu mengenali punca kerosakan dan saya belajar daripada mentor industri.

“Berdasarkan kepada apa yang saya belajar, saya hasilkan satu AI tersebut dan boleh digunakan oleh  pemegang taruh yang terdapat dalam satu-satu projek pembangunan itu sendiri.

“Prototaip ini mengambil masa hampir lapan bulan dan banyak cabaran serta kekangan kerana struktur program yang ada pada hari ini tidak memperkenalkan kepada AI.

“Atas inisiatif sendiri, saya belajar sendiri berkaitan AI dan mengumpul data daripada pelbagai kawasan di tapak bina serta mengikuti pembelajaran berkenaan mesin hampir tiga bulan bagi pembangunan sistem ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup NCTS ke-6 di Dewan Jubli Omar, PUO di sini hari ini.

Mahasiswa PUO raih Ikon Teknologi Kejuruteraan Terbaik menerusi inovasi 'sistem AI kesan kerosakan konkrit'

Penerima Ikon Teknologi Kejuruteraan Terbaik, Muhammad Thalha Hamdan, 24 (kanan), dan Ikon Sains Sosial Terbaik, Nur Ain Mohd Akhir, 24 (kiri) menerima pengiktirafan tersebut yang disampaikan Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK), Dr Mohd Daud Isa (tiga dari kiri) di Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS) yang diadakan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Dalam pada itu, dia berasa gembira dan tidak menyangka akan dinobatkan sebagai salah seorang pemenang utama pada persidangan kali ini.

Katanya, ketika menghasilkan projek tersebut, dia dibantu dua pensyarah PUO dengan salah seorang daripada mereka mempunyai kepakaran teknologi AI dalam pembinaan serta turut dibantu oleh pihak industri.

“Mereka banyak membantu dari sudut penghasilan coding, mereka buat semakan dan melihat data sejarah AI yang saya bangunkan sama ada sesuai ataupun tidak untuk dilaksanakan. Alhamdulillah, keberkesanannya boleh dilaksanakan.

“Sistem tersebut masih di peringkat uji lari kerana ia adalah satu permulaan untuk kita integrasikan dengan situasi yang sebenar pada masa akan datang dan selepas ini akan ada peringkat uji lari seterusnya, namun di peringkat penghasilan sudah selesai,” jelasnya.

Sementara itu, kajian bertajuk, ‘Tourist Satisfaction in Tanjung Piai National Park’s Tourism Sectors: An Expectancy Disconfirmation Theory Application’ melayakkan Nur Ain Mohd Akhir, 24, untuk menerima pengiktirafan Ikon Sains Sosial pada persidangan tersebut.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu berkata, projek itu adalah mengenai mengukur tahap kepuasan pelancong khususnya di Taman Negara Tanjung Piai, Johor.

“Pada tahun ini, Johor telah pun melancarkan Visit Johor 2026 dan kerajaan negeri telah banyak melabur dan mengeluarkan wang untuk menambah baik infrastruktur di Taman Negara tersebut.

“Saya nampak infrastruktur dan kemudahan di Tanjung Piai memang cantik dan menarik. Cuma saya saya ingin tahu adakah usaha dan wang yang dikeluarkan berbaloi serta memberikan manfaat ataupun tidak.

“Selepas menjalankan projek tersebut saya melihat ia berbaloi jika dibandingkan Tanjung Piai yang dahulu dengan yang sekarang, memang sekarang nampak lebih megah dan lebih cantik daripada yang sebelumnya,“  katanya yang berasal dari Bidong, Kedah.

Nur Ain berhasrat untuk menceburi bidang hospitaliti pada masa hadapan kerana minat berinteraksi dengan orang ramai, melayan pelanggan serta berkongsi maklumat mengenai Malaysia dan tempat-tempat menarik supaya mereka berasa lebih selesa dan seronok sepanjang berada di negara ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Persidangan Nasional TVET himpunkan 167 kertas penyelidikan pelajar prasiswazah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI