Persidangan Nasional TVET himpunkan 167 kertas penyelidikan pelajar prasiswazah

IPOH – Persidangan Nasional Pelajar Ijazah Sarjana Muda TVET ke-6 (NCTS) berjaya menghimpunkan 167 kertas penyelidikan daripada pelajar prasiswazah dalam usaha memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Persidangan bertemakan ‘Green TVET Synergy for Sustainable Industry-Ready Talents’ itu melibatkan penyertaan daripada PUO, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).

Sebanyak tujuh program ijazah, lapan bilik selari serta dua sesi ucaptama daripada wakil industri dan alumni telah diadakan sepanjang persidangan yang berlangsung selama dua hari di PUO.

Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohd Daud Isa berkata, persidangan yang dianjurkan memberi ruang kepada pelajar membentangkan projek pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang dibangunkan sepanjang penempatan di industri kepada rakan-rakan, pihak industri serta agensi berkaitan.

Menurutnya, WBL juga memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar di industri, malah berjaya meningkatkan kebolehpasaran graduan sehingga sebahagian besar daripada mereka menerima tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian.

“Persidangan ini memberi peluang kepada mereka untuk membentangkan projek WBL yang dilaksanakan di industri bersama industri untuk dikongsikan dengan rakan-rakan dan juga dengan pihak industri, dengan agensi yang berkaitan dengan projek yang dilaksanakan di industri semasa WBL.

“Menerusi WBL mereka akan menjalani latihan di industri dalam bidang yang berkaitan selama setahun serta perlu menyiapkan jumlah jam kredit yang ditetapkan bersama dengan penyelia di industri dan penyelia di politeknik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup NCTS ke-6 di Dewan Jubli Omar, PUO di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah PUO, Salmi Che Meh; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi JPPKK, Shahiza Ahmad Zainuddin dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPPKK Cheah Chee Fong.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, persidangan itu turut mengiktiraf kecemerlangan peserta menerusi beberapa kategori anugerah sebagai pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan dan inovasi yang dipamerkan.

“Kita tengok tadi ada pelajar yang telah dianugerahkan sebagai Pembentang Terbaik, Projek Terbaik dan Ikon Teknologi Kejuruteraan Terbaik serta Ikon Sains Sosial Terbaik,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan program WBL memberikan impak besar kepada politeknik, khususnya dari aspek kebolehpasaran graduan yang menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

“Program ini adalah satu impak yang besar juga kepada politeknik di mana kadar kebolehpasaran mereka adalah tinggi.

“Boleh dikatakan kesemua pelajar-pelajar lepasan WBL program ijazah di politeknik akan mendapat pekerjaan dengan industri. Malah, semasa mereka melaksanakan latihan industri atau WBL di industri pun, mereka sudah ditawarkan bekerja bersama dengan industri,“ jelasnya.

Mengulas projek yang dipilih sebagai Projek Terbaik, beliau berkata, JPPKK akan memperkembangkan projek berkenaan bagi tujuan pengkomersialan supaya manfaatnya dapat diperluaskan kepada komuniti industri.

“Projek terbaik ini akan dibangunkan lagi supaya dapat dikomersialkan, bertujuan untuk memberi contoh kepada pelajar-pelajar lain bahawa program yang dilaksanakan di industri ini adalah program yang melibatkan teknologi baharu yang memberi impak kepada bidang pengajian TVET,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Graduan TVET politeknik terus jadi pilihan industri, kebolehpasaran capai 98.6 peratus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI