TAIPING – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perak bakal mengoperasikan 12 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Tunas Istimewa@KEMAS pada tahun depan sebagai usaha memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya kanak-kanak autisme tahap ringan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Ayub Abd Rahman berkata, penubuhan TABIKA Tunas Istimewa itu selaras dengan keperluan semasa susulan peningkatan enrolmen kanak-kanak berkeperluan khas.
“KEMAS Perak mempunyai 12 Tabika Tunas Istimewa yang bakal beroperasi pada tahun 2027 dengan sasaran utamanya adalah kepada kanak-kanak autisme dan berkeperluan khas.
“Tabika khas ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan kanak-kanak terbabit yang semakin meningkat pada masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Potensi Alpha Gen Talent dan Hari Kemahiran KEMAS Peringkat Negeri Perak 2026 yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini hari ini.

Katanya, KEMAS Perak turut menerima peruntukan sebanyak RM2.65 juta bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf dan pemuliharaan melibatkan 48 premis yang daif dan uzur.
“Secara keseluruhan di Perak, KEMAS mempunyai 804 buah premis Tabika, 44 buah premis Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), 282 buah premis pendidikan kemahiran dan 114 buah premis aktiviti pembangunan insan dan komuniti.
“KEMAS Perak juga telah memulakan usaha pewartaan premis KEMAS bagi menjamin kelestarian dan penerusan aktiviti KEMAS untuk jangka masa panjang demi maslahat masyarakat dan komuniti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayub berkata, KEMAS Perak mempunyai kekuatan warga seramai 1,278 orang di seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut 855 daripadanya adalah kakitangan berstatus kontrak.
“Buat masa ini, KEMAS dalam proses memperkasakan perjawatan dan struktur organisasi supaya dapat lebih memberikan tawaran perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang lebih baik kepada semua guru-guru dan kakitangan.
“Selain itu, KEMAS telah berusaha sama dengan pelbagai pihak untuk memperkasakan kakitangan seperti guru-guru Tabika dengan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan juga dengan pentauliahan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam.
“Ini bagi memastikan kualiti pengajaran Al-Quran dan ilmu ehwal Islam mencapai standard yang terbaik dan menepati garis panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


