Ibu bapa perlu kenal pasti, gilap potensi anak sejak usia awal – Saarani

TAIPING – Ibu bapa disaran mengenal pasti potensi anak sejak usia awal dan bekerjasama dengan guru-guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi memastikan bakat serta kebolehan mereka dapat dipupuk secara berterusan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membantu melatih dan mendidik anak-anak supaya potensi mereka dapat dikembangkan untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan ruang kepada anak-anak untuk mencuba tanpa mematahkan semangat mereka apabila berdepan kegagalan.

“Ibu bapa di rumah perlu kenal pasti potensi anak-anak mereka dan boleh bisikkan kepada guru-guru KEMAS supaya mereka yang ada kemahiran dapat mendidik kanak-kanak tersebut.

“Pendidikan awal kanak-kanak ini dapat memajukan, membantu melatih, mendidik supaya anak kita akan berpotensi untuk jangka masa panjang.

“Jika anak kita gagal dalam sesuatu percubaan janganlah kita menempelak dia (anak), janganlah kita merosakkan keinginan dia ataupun kita telah menyebabkan dia hilang minat dan hilang semangat untuk terus mencuba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Potensi Alpha Gen Talent dan Hari Kemahiran KEMAS Peringkat Negeri Perak 2026 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini hari ini.

Ibu bapa perlu kenal pasti, gilap potensi anak sejak usia awal – Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi ‘Alpha Gen Talent’ dan Hari Kemahiran KEMAS Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 OGOS 2026.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Ayub Abd Rahman.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, peranan ibu bapa bukan menentukan keseluruhan perjalanan hidup anak sejak kecil, sebaliknya membimbing mereka agar mampu mengenal pasti kekuatan dan potensi diri.

“Tugas kita (ibu bapa) adalah membuka ruang, memberikan bimbingan dan kasih sayang dan membiarkan mereka (anak) mencuba supaya sedikit demi sedikit mereka dapat menemukan kekuatan yang ada dalam diri mereka,” ujarnya.

Katanya, setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang perlu digilap secara berterusan supaya dapat berkembang menjadi kekuatan dan bakat yang memberi manfaat kepada masa depan mereka.

“Sehubungan itu, kita perlu bersama-sama memastikan mereka akan jadi manusia yang kuat semangat, yakin diri, berpotensi dan dengan potensi itu mereka akan dapat membangunkan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, seramai 500 kanak-kanak daripada Tabika dan Taska KEMAS seluruh Perak menyertai acara futsal, bola jaring dan Kids Athletic dalam Hari Potensi Alpha Gen Talent pada tahun ini dengan KEMAS daerah Larut Matang dan Selama berjaya menjadi juara keseluruhan pada kejohanan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

12 Tabika Tunas Istimewa@KEMAS bakal beroperasi di Perak tahun depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI