DIUJI dengan kehilangan anak ketika baru berusia empat bulan serta pengalaman menjaga ibu mentua yang menghidap demensia menjadi titik tolak buat Norhidayah Roni untuk menceburi bidang perkhidmatan penjagaan pesakit dan warga emas atau ‘caregiver’.
Pengalaman pahit yang meninggalkan kesan mendalam terhadap wanita berusia 34 tahun itu turut membentuk ketabahan serta memberi kefahaman kepadanya mengenai keperluan penjagaan golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan, khususnya pesakit dan warga emas.
Persiap diri, ikuti kursus anjuran PASAK
Pengasas NH Patients Care Services itu memulakan langkah dengan mengikuti Kursus Penjagaan Warga Emas anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi melengkapkan diri dengan ilmu asas perubatan sebelum mula bekerja sebagai penjaga pesakit.
Menurutnya, pengalaman mengendalikan pesakit terlantar sepenuhnya ketika menjadi penjaga pesakit buat kali pertama menjadi antara cabaran terbesar yang pernah dilaluinya, terutama apabila maklumat mengenai keadaan pesakit tidak diberikan dengan lengkap.

Menceritakan pengalaman itu, katanya, tugas pertama diperoleh di sekitar Ipoh dan ketika itu beliau perlu mengendalikan seorang pesakit yang terlantar sepenuhnya tanpa bimbingan secara langsung.
“Klien pertama adalah seorang pesakit yang terlantar sepenuhnya. Hari pertama mungkin agak gagal. Hari kedua itu saya mula yakin kerana saya jenis yang boleh membaca situasi dan memerhatikan keadaan.
“Apabila saya sudah kenal pasti apa yang perlu dilakukan, saya memperkemaskan ‘kuda-kuda’ dan pengendalian tubuh pesakit bagi memastikan tugasan dapat dilakukan dengan lebih selamat.
“Walaupun saya pernah sakit selama dua minggu kerana tidak biasa dengan tugas tersebut tapi saya tidak pernah putus asa.

“Alhamdulillah, sekarang kalau berat pesakit mencecah 100 kilogram pun saya rasa masih mampu untuk angkat dengan menggunakan teknik yang betul,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak.
Perlu sabar jaga pesakit terlantar, warga emas
Dalam perkembangan sama, Norhidayah berkata, penjagaan warga emas dan pesakit terlantar memerlukan kesabaran yang tinggi.
Katanya, penjaga perlu peka terhadap aspek kesihatan dan cara berkomunikasi dengan warga emas, sekali gus mengelakkan salah faham ketika mengendalikan mereka.
Tambahnya, tanpa pengetahuan mengenai keadaan dan penyakit warga emas, penjaga mudah menganggap perubahan tingkah laku mereka sebagai cubaan mengambil kesempatan atau mendapatkan perhatian.
“Memang kalau kita tidak faham kita akan fikir warga emas sejenis yang suka hendak ambil kesempatan. Bagaimanapun, bila kita dah ambil kursus baru kita faham. Bukan maksud kita tidak hormat dia, tapi kita menjaga emosi kita dan kita menjaga emosi dia,” jelasnya.
Buka Nh Home Care & Transit Centre
Selepas dua tahun menimba pengalaman, beliau mencabar diri dengan membuka pusat jagaan sendiri iaitu Nh Home Care & Transit Centre di Ipoh dengan bermodalkan RM30,000 yang dikumpul sepanjang menjalankan perkhidmatan tersebut.
“Saya buka perkhidmatan pusat jagaan ini bagi memenuhi permintaan klien yang memerlukan penjagaan sehingga 24 jam pada kadar berpatutan.

“Saya buka pusat ini pada 26 Jun lalu dan dalam masa dua bulan saya sudah boleh penuhkan kelengkapan yang diperlukan di ruang bawah menggunakan gaji sendiri.
“Kapasiti pusat ini boleh menempatkan 13 orang pesakit pada satu masa dan sekarang hanya tiga orang yang mendapatkan perkhidmatan penjagaan di sini,” ujarnya yang kini mempunyai 53 kakitangan dengan 12 daripadanya adalah pekerja tetap.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, profesion ini mungkin nampak remeh, tetapi dengan kemahiran serta pengalaman dimiliki dan jumlah tugasan yang diterima, pendapatannya boleh mencecah antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.
Selari dengan unjuran ketujuh Perak Sejahtera 2030
Usaha Norhidayah dilihat selari dengan unjuran ketujuh Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasakan ekonomi wanita, selain memberi perhatian terhadap keperluan golongan warga emas.
Seiring dengan itu, usaha kerajaan negeri memperkukuhkan bidang penjagaan warga emas menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai langkah tepat dalam merealisasikan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Kerjaya sebagai penjaga pesakit dan warga emas bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal golongan berkenaan, malah menuntut kekuatan emosi, tahap profesionalisme tinggi serta nilai empati, kesabaran dan ihsan yang mendalam.
Dalam usaha menyediakan tenaga penjaga profesional, PASAK bersama Wanita Perak turut memperkenalkan Kursus KAIGO-Lite: The Essence of Caregiving dan Kursus Penjagaan Warga Emas Pensijilan Profesional.
Inisiatif berkenaan dilihat bertepatan dengan persediaan Perak menuju status negeri menua, selain membantu melahirkan generasi baharu tenaga penjaga yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah mengutamakan nilai kemanusiaan sebagai teras dalam perkhidmatan penjagaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Caregiver’ di Perak mampu raih pendapatan hingga RM15,000 sebulan


