TANJUNG MALIM – Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan sebagai pemangkin dalam membentuk generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kompeten, berdaya saing, berintegriti serta mempunyai jati diri dalam mendepani perubahan teknologi dan keperluan industri.
Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Razali Johari berkata, semangat merdeka dalam konteks pendidikan TVET perlu diterjemahkan melalui keberanian untuk berubah berfikiran ke hadapan serta tidak terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada.
Menurut beliau, perkembangan teknologi yang pantas, perubahan industri dan keperluan tenaga kerja yang semakin mencabar menuntut warga PSAS sentiasa meningkatkan ilmu, kompetensi serta kemahiran.
“Semangat Merdeka membawa maksud keberanian untuk berubah, berfikir ke hadapan dan membebaskan diri daripada sikap selesa dengan pencapaian sedia ada.

“Dunia hari ini berubah dengan begitu pantas di mana teknologi berkembang, industri berubah dan keperluan tenaga kerja juga semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 Peringkat PSAS di Padang PSAS, di sini, yang mengangkat tema ‘Semangat Merdeka, Jiwa Patriotik, Aspirasi PSAS Tersohor’.
Razali berkata, usaha melahirkan generasi TVET berkualiti tidak boleh bergantung kepada penguasaan kemahiran teknikal semata-mata sebaliknya perlu disokong kemahiran insaniah, disiplin, integriti, keyakinan dan jati diri.
“Dunia pekerjaan hari ini tidak hanya melihat sekeping ijazah atau diploma. Industri mahu graduan yang mampu berkomunikasi, bekerja dalam pasukan, menyelesaikan masalah, menguasai teknologi serta mempunyai sikap yang baik.
“Justeru, PSAS mahu graduannya mempunyai identiti yang jelas dan dikenali oleh industri sebagai graduan yang berkemahiran, berdisiplin, berintegriti dan bersedia untuk industri, sekali gus mencerminkan aspirasi PSAS Tersohor,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menegaskan kecintaan kepada negara bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata atau simbol, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi tindakan dan pelaksanaan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut menjadi detik istimewa apabila buat julung kalinya seluruh warga PSAS berhimpun bersama dalam satu semangat, satu jiwa dan satu aspirasi sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kecintaan serta kesetiaan kepada negara.
Program itu turut memperkukuh sinergi antara institusi TVET dengan agensi kerajaan di Daerah Muallim menerusi penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Merdeka 2026 bagi kategori kakitangan dan pelajar sebagai pengiktirafan kepada warga PSAS yang menunjukkan nilai, komitmen serta sumbangan positif dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan di peringkat institusi. -MG Perak


