SUNGAI SIPUT – Festival Sungai Siput Heritage Music Vibes sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di daerah ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, festival yang bermula semalam hingga Ahad ini menghimpunkan 80 gerai jualan selain pelbagai aktiviti kebudayaan dan moden yang diadakan bagi menarik kehadiran pelancong serta penduduk tempatan.
Menurutnya, penganjuran festival itu bukan sahaja bertujuan menarik pengunjung dari luar Perak, malah menggalakkan penduduk tempatan untuk singgah dan berbelanja di dalam negeri.
“Kita boleh lihat sepanjang tiga malam ini, akan ada pelbagai acara seperti acara kebudayaan dan acara moden, contohnya seperti persembahan main api.
“Ini bertujuan untuk menarik pelancong dan pelawat ke kawasan ini dan bagi ‘mengekang’ penduduk tempatan daripada keluar.
“Kita mahu orang luar datang dan berbelanja di Perak. Kalau kita tidak dapat menarik orang luar ke sini, sekurang-kurangnya kita mahu orang Perak jangan keluar berbelanja di luar dan duit (yang dibelanjakan) itu tinggal di sini,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Sungai Siput Heritage Music Vibes Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Suhaimi Abu Hassan Shari.
Dalam perkembangan sama, Loh yang juga ADUN Jalong berkata, pendekatan menggabungkan elemen tradisional dan moden penting bagi memastikan program kebudayaan mampu menarik minat pelbagai peringkat umur, khususnya golongan muda.
“Pada bulan kemerdekaan iaitu setiap Ogos dan September, sudah menjadi kebiasaan kami untuk mengadakan pelbagai program bagi meraikannya.
“Sekarang ini, kami sudah buat lebih kepada konsep hibrid kerana kadang-kadang kalau kita buat kebudayaan sahaja, mungkin ia kurang menarik minat golongan yang lebih muda. Jadi, apabila kami buat secara hibrid, ada kebudayaan yang lebih tradisional dan juga ada yang lebih moden.
“Menerusi cara ini, golongan muda dapat melihat perkara-perkara yang lebih moden, selain berkunjung ke gerai-gerai makanan dan sebagainya yang lebih moden,“ ujarnya.
Tambahnya, selain itu, usaha berkenaan turut dilaksanakan menerusi penganjuran pelbagai program dan dekorasi perayaan setiap kaum sepanjang tahun bagi menghidupkan suasana serta menarik orang ramai ke kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap festival itu dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memastikan manfaat perbelanjaan pelancong serta penduduk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
10,000 pengunjung dijangka meriahkan Fiesta Sungai Siput 2026


