SUNGAI SIPUT — Sebanyak RM250,000 diluluskan menerusi peruntukan khas Pejabat Menteri Besar Perak bagi melaksanakan projek menaik taraf dan membaik pulih jalan di lima kampung Orang Asli di Jalong Tinggi, di sini.
Lima kampung terbabit ialah Kampung Lawai, Kampung Pisang, Kampung Langkor, Kampung Landap dan Kampung Asap.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Sungai Siput dijadualkan bermula bulan depan dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, keadaan jalan di penempatan Orang Asli memerlukan perhatian berikutan faktor cuaca, khususnya hujan, yang boleh menyebabkan kerosakan atau perubahan pada keadaan laluan.
“Jalan di perkampungan Orang Asli juga lebih mudah mengalami kerosakan berbanding jalan di kawasan lain berikutan kedudukannya yang berada di dalam kawasan hutan.
“Keadaan muka bumi serta aliran air sungai yang berubah-ubah menyebabkan tanah di kawasan berkenaan mudah bergerak, terutama ketika hujan lebat.
“Ini menyebabkan jalan yang baru dibaiki juga berisiko mengalami kerosakan dalam tempoh singkat akibat pergerakan tanah dan perubahan aliran air.
“Justeru, peruntukan itu digunakan bagi menaik taraf dan membaiki jalan sahaja bergantung pada kerosakan di setiap kampung,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Sungai Siput Heritage Music Vibes Sempena TMM 2026 di sini malam tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Suhaimi Abu Hassan Shari.
Loh yang juga ADUN Jalong berharap, projek berkenaan diharap dapat memperbaiki akses keluar masuk penduduk di lima kampung terbabit, selain menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa untuk kegunaan harian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


