IPOH – Urban Forest akan menampilkan konsep makanan dan minuman (F&B) merangkumi 40 peratus pengusaha yang bernaung di bawah Persatuan Restoran Cina Malaysia (MCRA) dan 60 peratus pengusaha tempatan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Team Keris Berhad (TKB), Datuk Lee Seng Hee berkata, konsep ini adalah sebahagian daripada usaha mengetengahkan kepelbagaian sajian makanan Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
Menurutnya, pembangunan berkenaan turut memastikan 30 peratus daripada keseluruhan tawaran F&B adalah mesra Muslim, termasuk dim sum halal, bagi memenuhi keperluan dan citarasa pengunjung yang lebih pelbagai.
“Urban Forest akan menjadi platform menyediakan F&B terbaik untuk semua. Ini bukan soal harga, berapa mahal atau murah makanan itu, tetapi persoalannya, adakah orang sanggup beratur untuk mendapatkannya.
“Selain itu, kami bersama RJJ Hotels Sdn Bhd (RJJ Hotels) serta MCRA telah berbincang dan memutuskan waktu operasi penyediaan F&B untuk pelancong adalah antara jam 7.30 pagi sehingga 11 malam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TKB dan RJJ Hotels Sdn serta MCRA di Ibu Pejabat TKB di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif RJJ Hotels, Yap Ling Seng dan Presiden MCRA, Gao Haoyun.

Dalam pada itu, Seng Hee berkata, kerjasama dengan RJJ Hotels juga amat penting dalam membantu membawa masuk pelancong antarabangsa ke sini untuk meraikan kepelbagaian makanan Malaysia.
“Pada masa yang sama, kami juga akan membawa masuk jenama-jenama antarabangsa. Ini penting kerana kami akan menerima pengunjung dari Australia, England, Amerika dan pelbagai negara lain.
“Secara ringkasnya, akan menjadi sebuah destinasi yang benar-benar meraikan makanan, semuanya di bawah satu bumbung.
“Peluang kerjasama dengan jenama yang mempunyai 200 juta pelanggan dan ahli di lebih 50 negara memberi peluang besar untuk Urban Forest mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa,“ ujarnya.
Urban Forest adalah projek ekosantuari dan perbandaran gaya hidup berskala besar bernilai lebih RM1 bilion oleh TKB, bakal menjadi antara pembangunan berimpak tinggi yang mencorakkan landskap baharu koridor Bercham–Tambun di sini.
Projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 34 hektar (84 ekar) itu turut mendapat kerjasama RJJ Hotels dan MCRA, dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ekspo Dunia: Malaysia mahu kekal dominasi halal global – HDC


