PENGKALAN CHEPA – Pas mengesahkan akan memenuhi jemputan UMNO untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan menentukan barisan pemimpin yang akan dihantar sebagai wakil ke perhimpunan berkenaan.
“Kita akan menghantar wakil nanti, dan kita akan putuskan siapa wakilnya.
“Pada masa sama, kehadiran pimpinan UMNO diketuai Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pada Muktamar Pas hari ini menandakan sikap keterbukaan dan sangat positif atas jemputan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-72, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan UMNO menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri PAU 2026 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 9 September.
Asyraf Wajdi sebelum ini dipetik berkata, keputusan menjemput Pas itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos lalu.
Perkembangan itu dilihat mencerminkan keterbukaan kedua-dua parti untuk meneruskan hubungan dan kerjasama politik, khususnya selepas kehadiran pimpinan UMNO pada Muktamar Pas Ke-72. – MalaysiaGazette


